Tiada Ahli Parlimen Pas sokong Anwar - Mohd. Amar - Utusan Malaysia

Tiada Ahli Parlimen Pas sokong Anwar – Mohd. Amar

MOHD. Amar Nik Abdullah (kanan) bermesra dengan salah seorang peniaga selepas menyampaikan Kuliah Pagi Jumaat di Dataran Medan Ilmu, Kota Bharu, Kelantan hari ini. - UTUSAN/MUSTAQIM MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pas menafikan ada dalam kalangan Ahli Parlimennya bakal mengikut jejak langkah wakil rakyat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang menyatakan sokongan kepada pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, setakat ini beliau tidak mendengar apa-apa maklumat berkait perkara itu dan menyifatkannya sebagai spekulasi.

“Sebaliknya, apa yang didengari adalah ada dalam kalangan Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang mungkin beralih sokongan dan bersama-sama pihak pembangkang.

“Seorang Ahli Parlimen pembangkang memasuki bilik ‘backbenchers’ adalah perkara biasa. Saya sendiri pun sewaktu berada di Parlimen banyak kali memasuki bilik berkenaan.

“Jadi ia perkara biasa untuk masuk minum kopi serta berjumpa kawan-kawan di dalam bilik itu. Bagi kita tiada apa-apa. Setakat masuk minum air itu sudah biasa sangat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan Kuliah Pagi Jumaat di Dataran Medan Ilmu di sini hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panchor itu memberitahu, perkara tersebut sebenarnya tidak boleh dijadikan sebagai asas kepada sebarang khabar angin atau spekulasi.

Kenyataan beliau diperkuatkan oleh Ahli Jawatankuasa Pas Pusat merangkap Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Dr. Mohamed Fadzli Hassan yang mengesahkan tiada Ahli Parlimen Pas bakal mengalih sokongan kepada Anwar dan Kerajaan Perpaduan.

“Saya ada terbaca kononnya ada dalam kalangan Ahli Parlimen Pas akan memberi sokongan kepada PMX (Perdana Menteri ke-10) dan saya mengesahkan tidak ada (Ahli Parlimen Pas bakal sokong Anwar).

“Anggapan itu dibuat apabila ada pihak melihat hubungan baik Ahli Parlimen Pas dengan pihak Ahli Parlimen kerajaan. Itu biasa, hubungan biasa secara peribadi dan sebagainya. Insya-Allah semua Ahli Parlimen kita kekal istiqamah dengan perjuangan dan dasar-dasar Pas,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak dapat memastikan sama ada Ahli Parlimen Pas yang dimaksudkan adalah wakil rakyat dari Kelantan atau negeri-negeri lain. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN