Thanuja pandai masak muruku

Thanuja pandai masak muruku

THANUJA menggayakan pelbagai pose semasa sesi fotografi di Galeri Sofia, Media Mulia.-UTUSAN/FARIZWAN HASBULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ESOK, masyarakat beragama Hindu akan menyambut Deepavali. Pesta cahaya ini turut membawa 1001 makna buat bekas Ratu Cantik Malaysia 2009, Thanuja Ananthan.

Kongsinya, momen yang sangat dinanti-nantikan adalah menunggu juadah sarapan yang bakal disediakan oleh ibu tercinta pada hari pertama perayaan itu. 

“Saya sangat teruja menantikan air tangan emak pada pagi Deepavali. Kebiasaannya emak akan masak tosei, idli dan kari ayam. 

“Secara tradisi, perayaan Deepavali akan dimulakan dengan upacara mandi minyak sebelum matahari terbit. Kemudian, semua ahli keluarga datang berkunjung ke rumah, sembah kaki ibu bapa (mohon restu) dan bagi duit,” kongsinya kepada Seri penuh keterujaan mengenai keunikan Deepavali. 

Perayaan kebangsaan ini, ujarnya, melambangkan perpaduan dan keharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk di negara ini. 

Bercerita lanjut, model setinggi 181 sentimeter (cm) ini sebetulnya lincah di dapur kerana mewarisi bakat memasak daripada ibunya, Parvathy. 

Setiap kali menjelang Deepavali, pelakon dan hos televisyen ini sudah menjadi tugasnya menghasilkan muruku sendiri di rumah. 

“Saya akan pulang lebih awal ke rumah dan buat muruku bersama emak. Muruku memang makanan kegemaran. 

“Selalunya, kami akan buat muruku lima hari sebelum Deepavali sebab nak kekalkan kesegaran dan kerangupan juadah itu,” katanya. 

Thanuja yang saya kenali sejak di awal kerjayanya, memang peramah kala bercerita. Beliau bukan hanya pandai bergaya tetapi ‘belanja’ pelbagai pose di depan lensa kamera. 

Jelapang wajahnya tambah manis dengan solekan dan tatarias sentuhan @ayum_primadona dan @rajaveldoesmakeup, menjadikan pertemuan kami berlangsung dengan mudah. 

Penyertaan jelitawan ini dalam Master Chef Malaysia musim pertama sebelum ini, sudah cukup membuktikan minatnya memang ada dalam dunia masakan. 

Sekiranya ada masa terluang, beliau pasti akan mengambil peluang memasak. 

“Saya suka memasak, lebih-lebih lagi masakan pedas. Bagi saya, memasak ini dapat menghilangkan segala stres,” kongsinya yang cukup petah berbahasa Melayu. 

Wanita asal Puchong, Selangor, ini merupakan anak ketiga daripada empat beradik. 

Berkongsi kemeriahan Deepavali, katanya, selain disambut bersama ahli keluarga, sambutan lebih berwarna-warni sekiranya kakak sulungnya yang menetap di United Kingdom (UK) pulang ke tanah air menyambut Pesta Cahaya. 

“Sambutan kali ini mungkin tidak jauh berbeza seperti tahun sebelumnya. Selalunya, kalau kakak pulang beraya, ia pasti menjadi momen paling meriah. 

“Ditambah pula dengan kehadiran anak buah yang sudah lama tidak berjumpa. Itu pastinya adalah kenangan terindah setiap kali Deepavali,” ujarnya yang manis mengenakan busana tajaan @sangeets.asia, @1000. yards,@kimkaradesign dan @senalisglobal. 

Di sebalik kegembiraan menyambut pesta cahaya setiap tahun, sudah pasti terselit kenangan pahit yang masih segar dalam memori Thanuja. 

Dua tahun lalu, kongsinya, mereka sekeluarga tidak dapat meraikan Deepavali disebabkan bapa saudaranya meninggal dunia akibat kanser, tiga hari menjelang Deepavali. 

“Apabila ada kematian dalam kalangan ahli keluarga terdekat, secara tradisinya orang India tidak akan menyambut Deepavali. Memang sedih sangat masa itu,” luahnya. 

PERJUANG NASIB HAIWAN JALANAN  

Jiwa Thanuja terhadap haiwan terlalu tinggi. Rasa cinta dan kasihnya sangat menebal bagaikan ibu dengan anak. 

Sungguh dirinya terlalu sensitif dan tidak sesekali boleh mendengar jeritan atau kesakitan yang dialami oleh haiwan di jalanan. Ibarat cubit paha kiri, paha kanan terasa juga. 

Kongsinya, seawal usia 10 tahun, beliau sanggup memanjat pagar rumah pada waktu malam semata-mata mahu menyelamatkan anak anjing yang terperangkap di dalam longkang.   

Disebabkan kejadian itu, bapanya terpaksa memasang alat penggera bagi mengelakkan beliau keluar rumah kerana bimbang keselamatan dirinya.  

“Naluri sayang haiwan ini mungkin datang daripada ibu dan bapa saya sendiri. Saya membesar dengan haiwan-haiwan yang diselamatkan di jalanan. 

“Ada kucing dan anjing kurus tak cukup zat makanan, ada kucing yang pernah disimbah air panas serta ada juga hampir mati akibat ditetak dengan pisau. 

“Saya memang pantang dan tak boleh dengar haiwan dalam kesakitan. Saya akan cuba selamatkan sedaya-upaya,” katanya. 

Selepas mewakili Malaysia di Miss World 2009 di Johannesburg, Afrika Selatan, Thanuja mengambil inisiatif memperkenalkan kempen #adoptdontshop yang bertujuan memberi kesedaran kepada masyarakat supaya menyelamatkan haiwan di jalanan berbanding membelinya di kedai. 

Jelasnya, usaha itu sangat penting supaya lebih banyak haiwan dapat diselamatkan dan dihantar kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO). 

“Saya mempunyai hubungan yang baik dengan semua NGO haiwan di negara ini. Saya bekerja dengan banyak pihak dan aktif menjadi duta bagi Persatuan Mencegah Kezaliman Terhadap Haiwan (SPCA),” katanya. 

Bagaimanapun, wanita tinggi lampai ini mempunyai sudut pandang sendiri mengenai lambakan NGO yang bagai cendawan tumbuh selepas hujan. 

Baginya, semakin banyak NGO yang ditubuhkan, semakin banyak masalah lain yang akan timbul. 

“Kenapa dunia perlu terlalu banyak NGO atas tujuan yang sama? Bila makin banyak, ada NGO tak buat kerja pun. 

“Ada yang ambil kesempatan untuk menjana keuntungan, jadikan platform cari duit dan memanipulasi nama atas kepentingan tertentu. Sebab itu, saya tidak berminat untuk menubuhkan NGO sendiri,” tegasnya.           

Minat mendalam terhadap haiwan membuatkan rumahnya persis sebuah mini zoo. Kongsinya, beliau sekarang mempunyai enam kucing, dua anjing, serta haiwan peliharaan lain seperti burung dan ikan. 

“Ada kucing yang saya bela tiada mata, hilang bulu dan jalan berjengket. Semuanya adalah haiwan yang diselamatkan di jalanan,” kongsinya. 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya