Thailand kawal eksport, tak jejas bekalan gula di Malaysia

Thailand kawal eksport, tak jejas bekalan gula di Malaysia

ARMIZAN Mohd. Ali ketika mengadakan pemeriksaan dan pemantauan harga barang di Putrajaya. - UTUSAN/FAISOL MUSTAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Tindakan Thailand yang mula mengawal eksport gula mentah tidak akan menjejaskan bekalan komoditi itu di Malaysia, kata pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali.

Menurut beliau, ia berikutan syarikat pengilang gula terbesar negara iaitu MSM Malaysia Holdings Berhad (MSM) dan Central Sugars Refinery Sdn Bhd (CSR) tidak bergantung kepada bekalan gula mentah dari negara jiran itu.

“Harga gula putih bertapis (ketika ini) masih kekal, kerajaan masih mengawal harga gula pada kadar RM2.85 sen (kasar) dan RM2.95 sen (halus).

“Dua pengilang utama iaitu CSR dan MSM memperoleh bekalan gula mentah daripada sumber selain Thailand setakat ini, jadi apa yang berlaku di negara itu, kekurangan eksport atau kenaikan gula mentah tidak akan memberi kesan kepada kita,” katanya menerusi sidang akhbar selepas melakukan pemeriksaan dan pemantauan harga barang di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Armizan berkata demikian bagi mengulas laporan keputusan Thailand yang akan mula mengawal selia harga domestik dan eksport gula dalam usaha mengawal inflasi dan mengekalkan jaminan makanan.

Thailand merupakan pengeluar gula kedua terbesar di dunia selepas Brazil dan bekalan gula mentah Malaysia diperoleh sepenuhnya daripada Brazil.

Bagaimanapun beliau memaklumkan, negara berdepan dengan kenaikan harga gula mentah yang cukup tinggi di peringkat global iaitu peningkatan 52 peratus berbanding tahun 2021.

Jelasnya, peningkatan harga di peringkat global berkenaan turut memberi kesan terhadap harga runcit komoditi itu.

“Kita difahamkan bahawa kedua-dua syarikat pengeluar memang berhadapan dengan masalah kerana bagi setiap kilogram gula yang dijual pada harga RM2.85 sen, mereka sebenarnya rugi 88 sen.

“Dan sekarang kita sedang jalankan libat urus dengan kedua-dua syarikat tersebut dan cuba untuk menangani masalah ini serta berunding dengan agensi pusat. Jadi kita harap dapat menangani masalah ini kerana kedua-dua syarikat itu adalah jaminan bekalan gula yang ada di negara kita.

“Kita pastikan harga yang munasabah dan stabil, tetapi keterjaminan makanan itu juga penting, kita tidak mahu industri berhadapan dengan masalah, jika keseluruhan ekosistem dan bekalan ‘crash’, bekalan tidak ada di kedai untuk rakyat beli dan guna,” ujarnya.

Dalam pada itu, Armizan turut mengakui terdapat gangguan bekalan di sesetengah kawasan sehingga memaksa segelintir penjual menghadkan pembelian gula.

“Antara masalah yang dihadapi syarikat adalah mereka perlu mengawal (bekalan). Tetapi bekalan masih ada, sebab itu kita lihat ada pasar raya atau kedai runcit tertentu yang membuat peraturan sendiri untuk hadkan pembelian bagi membolehkan masyarakat setempat mendapat bekalan yang mencukupi,” katanya.

Armizan berkata, gula putih bertapis pada harga kawalan RM2.85 adalah untuk penggunaan domestik dan berdasarkan kajian yang dibuat, setiap isi rumah hanya memerlukan kira-kira 2.6 kilogram gula sebulan.

“Industri makanan dan minuman yang lain sebenarnya perlu membeli gula yang bukan pada kadar kawalan RM2.85. Itu sebabnya peraturan dibuat oleh sesetengah pasar raya kerana akhirnya ia berbalik kepada objektif, kawal pembelian gula untuk penggunaan isi rumah,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya