Tekan Mesir buka sempadan lebih kerap

Tekan Mesir buka sempadan lebih kerap

Mesir perlu terus didesak untuk membuka sempadannya ke Gaza agar lebih banyak bantuan kemanusiaan dapat dihantar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Semua pihak digesa memberi tekanan kepada Mesir untuk membuka pintu sempadan Rafah dengan lebih kerap supaya bantuan kemanusiaan ke dalam ke Gaza, Palestin dapat dipergiatkan.

Timbalan Presiden Muslim Care Malaysia (MCM), Mohd. Johari Ismail berkata, rakyat Palestin terutama di Gaza ketika ini sedang berdepan ancaman kebuluran ekoran bekalan makanan yang terlalu terhad.

Menurutnya, untuk menghantar bantuan kemanusiaan ke Palestin hanya boleh menggunakan laluan darat iaitu melalui Mesir, namun, negara tersebut perlu mengikut ‘jari telunjuk’ Amerika Syarikat (AS) sebelum membuka pintu sempadan Rafah.

“Untuk bantuan masuk ke Gaza melalui jalan darat ini memang akan berdepan masalah kerana Mesir mengawal sepenuhnya pintu masuk dan mereka terpaksa patuh kepada arahan AS,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia

Lagi pula katanya, tidak ada jaminan dari segi keselamatan selepas melepasi pintu sempadan Rafah kerana Israel boleh serang pada bila-bila masa sahaja.

Mengulas lanjut, Mohd. Johari berkata, kesukaran menghantar bantuan ke Palestin merupakan kesan daripada tindakan sebahagian negara Arab yang menormalisasikan hubungan mereka dengan Israel.

“Sebenarnya, rakyat Mesir di sana sangat bersimpati dengan nasib Palestin, cumanya kerajaan mereka terpaksa akur dengan kehendak AS atas perjanjian tertentu. Malah, seperti kita ketahui Mesir banyak terhutang budi kepada AS dan Israel.

“Saya melihat ini sebagai agenda Yahudi dan AS dalam memastikan tidak ada negara di sekeliling dapat membantu Palestin demi kelangsungan masa depan mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN