Tak perlu politikkan isu poligami - Utusan Malaysia

Tak perlu politikkan isu poligami

AFNAN Hamimi Taib Azamuddin (empat dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang sewaktu Majlis Penutup Program Alam Ria Pasti Malaysia 2023 di Dewan Wawasan 2020, Kangar, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Pemuda Pas menggesa agar isu membabitkan poligami tidak dipolitikkan oleh pihak tertentu memandangkan perkara itu adalah berkaitan hukum feqah.

Ketuanya, Afnan Hamimi Taib Azamuddin berkata, Pas membangkitkan kembali mengenai poligami kepada masyarakat memandangkan ia merupakan salah satu jalan keluar dalam Islam kepada penyelesaian bila mana terdapat ramai wanita pada masa kini tidak berkahwin.

Beliau berkata, Islam membenarkan poligami bagi mereka yang berkemampuan malah ia juga bukannya perkara baharu dan turut disebut di dalam al-Quran.

“Kita menyebut kembali kaedah hukum feqah iaitu penyelesaian Islam yang ALLAH SWT sebut dalam al-Quran dan itu bukannya benda baharu.

“Jadi tak perlulah politikkan isu berkaitan feqah ini dan saya rasa mereka carilah isu lain yang boleh dibuat,” katanya selepas Majlis Penutup Program Alam Ria Pasti Malaysia 2023 di Dewan Wawasan 2020 di sini hari ini.

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan mengenai cadangan Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man sewaktu perbahasannya di Dewan Rakyat meminta kerajaan supaya memberi sokongan moral kepada golongan ‘bujang senja’ yang mampu untuk berpoligami.

Katanya,  amalan itu boleh menjadi ‘jalan keluar’ kepada jutaan wanita yang  belum berkahwin walaupun selepas umur 30 tahun.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin menerusi ciapan di aplikasi X sebelum ini turut mendakwa ajaran Pas tidak membenarkan penganjuran konsert seperti Coldpay, Billie Eilish, Blackpink dan Bollywood, sebaliknya ‘mengizinkan’ hal berkaitan poligami.

Beliau bagaimanapun telah memadamkan hantaran berkenaan. 

Mengulas lanjut, Afnan berkata, Islam merupakan agama yang mengangkat martabat wanita untuk berada pada tahap lebih tinggi berbanding sebelumnya.

“Apabila kedatangan Nabi yang membawa bersama agama Islam, martabat golongan wanita telah diangkat lebih tinggi.

“Jadi kalau depa (mereka) nak kata kita (Pas) meremehkan orang perempuan, saya rasa benda itu tak betul, mungkin dia tak baca sejarah dan kena dalami lagi kerana ini bukan soal politik, tapi hukum Islam,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya