Tak mampu tutup kesedihan - Dayang Nurfaizah mohon terus menyumbang untuk rakyat Palestin - Utusan Malaysia

Tak mampu tutup kesedihan – Dayang Nurfaizah mohon terus menyumbang untuk rakyat Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Dayang Nurfaizah, 42, mengakui emosinya cukup terkesan dengan penderitaan rakyat Palestin akibat kekejaman rejim Israel.

Kata Dayang, dia tidak mampu menahan sebak setiap kali melihat rakyat negara itu, termasuk wanita dan kanak-kanak kehilangan nyawa dan akibat kejahatan zionis.

“Keadaan mereka membuat kita risau. Saya tak mampu tutup kesedihan, selalu menitiskan air mata setiap kali tertonton video yang memaparkan kesengsaraan saudara kita di Palestin.

“Rakyat Palestin, sejak dulu sentiasa dalam hati, jiwa dan sanubari saya. Nak ke sana kita tak boleh, hanya doa dan sumbangan yang mampu kita berikan buat mereka di sana.

“Kita kena teruskan segala usaha dan doa untuk bantu mereka,” katanya selepas konsert Ini Baru Bintang terbitan RTM, malam semalam.

Dayang pada konsert bertemakan solidariti untuk Palestin itu menyampaikan beberapa buah lagu termasuk Lelaki Teragung, Seandainya Masih Ada Cinta dan Di Pintu Syurga.

Jelas Dayang lagi, sokongan terhadap rakyat Palestin terus utuh meskipun dia jarang berkongsi tentang isu berkenaan di media sosial.

“Saya bukan seorang yang lantang di media sosial, tentang apa perkara sekalipun termasuk urusan kerja. Isu Palestin sensitif, jadi saya tak mahu ‘salah bual’ kerana saya bukanlah seorang yang pandai menyusun kata-kata.

“Tetapi itu bukan kayu ukur bagi sokongan saya kepada Palestin. Adakalanya saya kongsi di Instagram untuk mengajak peminat sama-sama membantu saudara kita di sana.

“Palestin kekal di hati dan sokongan  saya tak berbelah bahagi. Kita kena terus bantu mereka. Paling penting jangan putus doa kerana itulah ‘senjata’ kita umat Islam,” kongsinya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN