Sungai Golok nadi ekonomi - Utusan Malaysia

Sungai Golok nadi ekonomi

SEBAHAGIAN pangkalan haram yang terdapat di Sungai Golok, sebelah Thailand. - MINGGUAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RANTAU PANJANG: Di sebalik imej negatif Sungai Golok terutama melibatkan penyeludupan beras, minyak masak dan petrol, ia juga sebenarnya menjadi nadi utama ekonomi rakyat dua negara berjiran itu.

Sempadan kedua-dua negara yang dipisahkan oleh Sungai Golok dengan kelebaran 40 meter itu hanya mengambil masa dua minit untuk menyeberanginya sama ada dengan sampan atau berjalan kaki semasa air surut pada musim kemarau.

Keadaan itu menyebabkan urus niaga mudah dilakukan di kawasan sempadan berkenaan. Malah kegiatan itu menjadi sumber rezeki kepada penduduk tempatan dan difahamkan mereka boleh menjana pendapatan dari RM1,500 hingga RM3,000 sebulan.

Faktor harga murah barangan dari negara ini berbanding harga di negara jiran menyebabkan barangan seperti minyak masak, petrol, diesel, tepung gandum dan gula antara paling popular dibawa ke Thailand.

SEMPADAN Malaysia-Thailand di Kelantan yang hanya dipisahkan oleh Sungai Golok selebar 40 meter. – MINGGUAN/YATIMIN ABDULLAH

Ini kerana barangan tersebut tidak diberikan subsidi oleh kerajaan Thailand berbanding harga subsidi yang dinikmati oleh rakyat negara ini.

Barangan dari negara jiran yang popular diseludup masuk ke negara ini pula adalah beras Siam dan pakaian tiruan.

Namun yang menjadi masalah urus niaga di Sungai Golok itu adalah penyeludupan barangan salah seperti dadah dan senjata api termasuk pendatang asing tanpa izin (PATI).

Bagaimanapun usaha penguatkuasaan oleh polis agak mencabar kerana kedudukan Sungai Golok yang panjang kira-kira 103 kilometer selain kegiatan ‘perdagangan’ yang telah wujud turun-temurun dan hubungan kekeluargaan antara rakyat Thailand dan Kelantan.

DUA DEKAD JADI PENYELUDUP

Perkara itu diakui sendiri seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Jai, 42, dan sudah terlibat dengan penyeludupan lebih dua dekad.

Kata Jai kepada Mingguan Malaysia, pekerjaan itu sangat mudah dan dia hanya mengikut arahan yang diberikan oleh tauke untuk mengambil serta menghantar barangan subsidi ke pangkalan haram sebelum dibawa keluar ke Thailand.

Menurutnya, minyak masak peket, bahan bakar seper­ti diesel dan petrol, tepung gandum, gula antara barangan subsidi yang diseludup kerana permintaan tinggi daripada pengguna di negara jiran.

“Selain itu, barangan dari Thailand seperti pakaian, jersi bola sepak, seluar jeans, tudung, selimut, makanan ringan dan makan sejuk beku seperti sosej dan daging ayam antara yang diseludup masuk ke Malaysia menerusi pangkalan haram.

“Paling banyak yang saya bawa masuk adalah beras, makanan ringan, pakaian dan selimut,” katanya.

Kanak-kanak dan remaja turut terlibat dalam penghantaran barang yang diseludup ke negara jiran. – MINGGUAN/YATIMIN ABDULLAH

Jai memberitahu, peringkat awal dia melakukan kerja-kerja tersebut untuk membantu kewangan keluarga selain mengisi masa terluang pada sebelah malam.

Katanya, disebabkan upah lumayan yang diterima, dia nekad menjadikan pekerjaan itu sebagai mata pencarian utama keluarga sehingga hari ini.

“Kerja ini sangat berisiko dan saya perlu sentiasa berwaspada kerana kawalan anggota pasukan keselamatan di sempadan sangat ketat.

“Kebanyakan aktiviti dilakukan secara berkumpulan bagi memudahkan pergerakan penghantaran sehingga ke kawasan pangkalan haram.

“Sebaik sahaja barangan tiba di pangkalan, ada kumpulan lain akan memunggahnya ke dalam perahu dan kemudian terus ke negara jiran,” katanya.

TOLAK TAWARAN LUMAYAN BAWA PATI

Sementara itu seorang lagi ‘ejen’ yang mahu dikenali sebagai Ju pula berkata, dia sudah lebih 30 tahun terlibat dalam aktiviti penyeludupan.

Dia mendedahkan pernah ditawarkan untuk menghantar PATI ke ibu kota dengan upah lumayan.

Katanya, dia tidak sanggup untuk berbuat demikian selepas memikirkan hukuman yang bakal diterima jika ditangkap oleh pihak berkuasa.

“Bila fikirkan soal keluarga, jadi saya pilih untuk membawa barangan subsidi dan kontraban dari Thailand sahaja.

“Upah itu sudah cukup untuk menampung perbelanjaan keluarga dan anak-anak yang masih menyambung pengajian di menara gading,” katanya.

UNTUNG BERGANDA JUAL BARANG SELUDUP

SEBAHAGIAN pangkalan haram yang wujud di sebelah Thailand.
– MINGGUAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN

Seorang peniaga yang mahu dikenali sebagai Siti, 45, me­ngakui mampu meraih untung berganda menerusi jualan barangan seludup seperti beras, makanan, selimut dan pakaian.

Katanya, hal ini kerana barangan seludup terutama beras, makanan dan pakaian mendapat permintaan tinggi di pasaran.

“Walaupun nilai ringgit menyusut berbanding baht namun saya tidak menang tangan untuk memenuhi permintaan pe­langgan.

“Ekoran itu, saya perlu membawa stok baharu setiap hari bagi memastikan barangan jualan sentiasa mencukupi untuk menampung permintaan tinggi ketika ini,” katanya.

SUKAR `DIHALALKAN’ 

Mat, 47, mengakui agar sukar untuk ‘menghalalkan’ aktiviti membawa masuk barang Thailand ke negara ini.

Katanya, hal ini kerana ia perlu melalui prosedur dan garis panduan yang ketat terutama dalam soal halal.

“Walaupun produk itu mempunyai kelulusan halal Thailand namun perlu disemak oleh badan berautoriti seperti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Lagi satu, akan ada penambahan harga ke atas barang jualan disebabkan oleh cukai yang dikenakan oleh kerajaan,” katanya.

Mat juga memberitahu, untuk mengimport masuk barangan Thailand memerlukan mereka mempunyai sebuah syarikat dan modal yang agak besar untuk beroperasi.

Katanya, kebanyakan mereka yang terlibat dalam aktiviti ini tidak mempunyai keupayaan berbuat demikian. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN