Sungai Golok lepasi paras amaran

Sungai Golok lepasi paras amaran

Keadaan sebuah rumah yang dikelilingi air banjir di Kampung Tersang, Rantau Panjang, Kelantan, semalam. - UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Mangsa banjir di negeri ini dijangka terus meningkat selepas Sungai Golok di Rantau Panjang, dekat sini sudah melepasi paras amaran.

Setakat pukul 4 petang, paras air sungai yang terletak di sempadan Malaysia-Thailand itu sudah mencecah 8.46 meter.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati beberapa kawasan rendah di sekitar Rantau Panjang seperti Kampung Tersang dan Lancang sudah mula ditenggelami air sedalam 0.5 meter.

Sementara itu Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri melaporkan seramai 370 mangsa banjir dari daerah Pasir Puteh dan Bachok telah ditempatkan di enam buah pusat pemindahan sementara (PPS).

Daripada jumlah tersebut, Pasir Puteh menempatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 312 orang manakala Bachok 58 orang.

Paras air di sungai utama iaitu Sungai Pergau (Kampung Lawar), Sungai Galas (Dabong), Sungai Lebir (Pahi), Sungai Kelantan (Tangga Krai), Sungai Kelantan (Tambatan Diraja), Sungai Golok (Jenob) dan Sungai Golok (Kuala Jambu) berada pada tahap normal.

Bagaimanapun, hujan kadang kala lebat masih berlaku di beberapa kawasan di negeri ini.

Jesteru, penduduk disaran supaya kekal waspada untuk berdepan sebarang kemungkinan banjir. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×