Sukar peroleh gula, harga naik RM4.80 sekilogram

Sukar peroleh gula, harga naik RM4.80 sekilogram

TIADA bekalan gula pasir di sebuah pasar raya di Kota Kinabalu, Sabah.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Kesukaran memperoleh bekalan gula sejak beberapa minggu kebelakangan ini menyebabkan pengguna terpaksa membayar sehingga RM4.80 bagi mendapatkan sekilogram gula.

Tinjauan Utusan Malaysia di beberapa pasar raya sekitar Pekan Papar dan bandar raya ini mendapati tiada bekalan gula yang dijual di pasaran.

Berdasarkan tinjauan dilakukan, kakitangan pasar raya memaklumkan mereka tidak menerima bekalan gula sejak dua minggu lalu dan sukar untuk memastikan bila bekalan gula akan dihantar ke pasar raya berkenaan.

Seorang pengguna, Yanti Ramli, 40, berkata, memang sukar mendapatkan bekalan gula di sekitar Pekan Papar sejak beberapa minggu kebelakangan ini.

“Di pasar raya utama memang tiada langsung bekalan gula. Jika ada bekalan sekali pun, harganya pasti mahal terutama di kedai-kedai runcit di kawasan kampung sekitar Papar.

“Baru-baru ini, ada kedai runcit yang menjual gula pada harga RM4.80 sekilogram. Harganya naik hampir dua kali ganda daripada harga gula yang dikawal oleh kerajaan iaitu RM2.85 sekilogram,” katanya.

Menurutnya, sebagai peniaga kecil-kecilan, ketiadaan bekalan gula menjejaskan pendapatannya sebagai peniaga aiskrim.

Beliau berkata, apabila tiada bekalan gula di pasaran atau selagi harga gula masih tinggi maka, peniaga kecil-kecilan sepertinya tidak dapat meneruskan perniagaan.

Pada Ahad, Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd. Ali berkata, gangguan bekalan gula yang berlaku di Sabah dan beberapa kawasan lain di negara ini susulan daripada harga gula mental di pasaran antarabangsa yang tinggi.

Katanya, kenaikan harga gula mentah sehingga 52 peratus di peringkat antarabangsa menyebabkan peningkatan kos pengeluaran kepada pengilang tempatan.

Dalam menangani isu kekurangan bekalan gula, kerajaan telah meluluskan permit import (AP) kepada 43 syarikat bagi membawa masuk 557,080 tan metrik gula bagi menstabilkan bekalan gula di pasaran.

Walau bagaimanapun, sehingga Khamis lalu, hanya 22,547 tan metrik atau 4.05 peratus bekalan gula yang telah dibawa masuk. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya