PETALING JAYA: Minyak petrol RON95 dijangka lebih mahal kepada sebahagian rakyat selepas Julai tahun depan, susulan pelaksanaan program subsidi bersasar.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, pelaksanaan program itu sebagai langkah mengoptimumkan bahan api kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Katanya, penubuhan Pangkalan Data Utama (Padu) pada Januari lalu memberi akses kepada data yang diperlukan untuk melaksanakan program itu.
“Sebuah negara yang T20 menerima 53 peratus subsidi bahan api menyeluruh bukanlah model yang mampan dan saksama.
“Memandangkan kewangan negara mengalami defisit lebih daripada lima peratus selama tiga tahun berturut-turut, kita mesti mencari jalan baharu untuk menggerak sumber dan kurangkan pembaziran.
“Satu dimensi yang tidak dapat dielakkan ialah menangani ketidakcukupan hasil dengan meningkatkan cukai negara manakala membelanjakan lebih banyak wang daripada yang kita miliki adalah tidak kondusif dan dinamik,” katanya.
Beliau berkata demikian pada ucaptama Persidangan Unjuran Ekonomi Kebangsaan (NEOC) bertemakan Ekonomi Malaysia pada 2024: Apa Di Hadapan Perniagaan dan Kerajaan di Menara Affin @ TRX, Kuala Lumpur di sini semalam.
Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) bulan lalu melaporkan Kerajaan Persekutuan menyediakan peruntukan subsidi berjumlah RM55.443 bilion pada 2022, peningkatan 322.1 peratus atau RM42.309 bilion daripada RM13.134 bilion pada 2021.
Subsidi bagi produk petroleum merekodkan peruntukan tertinggi sebanyak RM45.184 bilion atau 81.5 peratus daripada jumlah perbelanjaan.
Sementara itu, Rafizi berkata, Dasar Gaji Progresif akan dibentangkan kepada Parlimen pada 30 November ini, dalam usaha untuk menyelesaikan isu sistemik gaji rendah di negara ini.
“Kekal mengejutkan saya bahawa gaji median kita hanya RM11 di atas paras kemiskinan. Walau bagaimanapun, kami tetap sedar bahawa pertumbuhan gaji mesti dipacu oleh produktiviti melalui usaha peningkatan kemahiran.
“Ini telah ditekankan oleh lima sektor pertumbuhan tinggi dan bernilai tinggi (HGHV) yang dikenal pasti dalam semakan pertengahan penggal, di mana kami ingin menumpukan pada mewujudkan sebahagian besar pekerjaan teknologi,” ujarnya.
Tambahnya, persekitaran kadar faedah yang tinggi dijangka memuncak pada 2024, menawarkan peluang kepada Bank Negara Malaysia (BNM) untuk mula mengurangkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) secara beransur-ansur.
“Pasaran dan perniagaan akan bertindak balas terhadap rangsangan ini dan aliran urus niaga akan berkembang dengan sewajarnya,” jelasnya. – UTUSAN










