PETALING JAYA: Selepas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid digantung keahlian kerana menyokong Kerajaan Perpaduan, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman pula ‘dijatuhi hukuman’ sama oleh Bersatu.
Dalam kenyataannya, Bersatu mengambil tindakan menggantung keahlian Suhaili selama enam tahun termasuk kesemua jawatan yang disandangnya dalam parti, berkuat kuasa hari ini.
Ia selepas Suhaili mengisytihar menyokong Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, keputusan dibuat Jawatankuasa Lembaga Disiplin parti yang bersidang pada hari ini selepas meneliti laporan pelanggaran disiplin dan perlembagaan oleh Suhaili yang juga Ketua Bahagian Bersatu Labuan dan Wilayah Persekutuan.
“Setelah diteliti segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga kenyataan media Suhaili bertarikh 30 Oktober lalu, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu.
“Sehubungan itu, Jawatankuasa Lembaga Disiplin sebulat suara menggunakan kuasa di bawah Fasa 22.5 (c) Perlembagaan Bersatu bagi menggantung keahlian Suhaili.
“Ia berserta kesemua jawatan dalam parti yang dipegang beliau untuk tempoh enam tahun berkuat kuasa dari tarikh keputusan dan hukuman iaitu 7 November 2023 (hari ini) ,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini Ahli Parlimen Kuala Kangsar digantung selama empat tahun kerana menyokong Kerajaan Perpaduan. – UTUSAN