PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sedang meneliti bukti susulan penahanan 10 individu termasuk lima anggota penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah antara RM500 sehingga RM1,000 daripada pemilik kenderaan dan orang tengah meminda dan mengubah butiran spesifikasi enjin kenderaan perdagangan.
Menurut sumber, siasatan masih berjalan proses penelitian bahan bukti susulan operasi yang dijalankan sedang dilakukan.
“SPRM juga tidak menolak akan mengadakan operasi susulan selepas ini,” katanya di sini hari ini.
Tambah sumber, empat individu dibebaskan dengan jaminan SPRM membabitkan dua individu di Johor dan dua individu di Perak manakala di Sabah seorang masih direman sehingga 28 November ini.
“Dua individu di Johor direman sehingga 27 November ini manakala dan dua lagi individu di Selangor direman,” katanya.
Kelmarin, media melaporkan SPRM menahan reman sembilan individu termasuk lima anggota penguat kuasa kerana disyaki meminta dan menerima wang rasuah antara RM500 sehingga RM1,000 daripada pemilik kenderaan dan orang tengah.
Wang diterima itu sebagai balasan untuk meminda dan mengubah butiran spesifikasi enjin kenderaan perdagangan daripada kenderaan diesel biasa kepada kenderaan diesel hijau di dalam sistem tanpa melalui prosedur ditetapkan.
Permohonan reman antara dua hingga tujuh hari bermula hari ini sehingga 28 November itu dikeluarkan oleh majistret ke atas sembilan daripada 10 suspek selepas pihak SPRM membuat permohonan itu di Mahkamah Majistret Ipoh, Putrajaya, Johor Bahru dan Kota Kinabalu, Sabah.
Bagaimanapun, seorang suspek yang juga bertindak sebagai ejen di Selangor dilepaskan dengan jaminan SPRM selepas keterangannya direkodkan.
Sumber berkata, terdapat dua modus operandi (MO) dipercayai dilakukan oleh sindiket ini untuk mendapatkan status diesel hijau pada kenderaan mereka iaitu secara pindaan data kenderaan atau pembetulan butir-butir kenderaan.
“Sindiket ini dipercayai bergerak aktif sekitar tahun 2019 hingga 2022 dan nilai wang rasuah dianggarkan sebanyak kira-kira RM1.28 juta untuk lima anggota penguat kuasa terdiri daripada tiga lelaki dan dua wanita.
Ketirisan hasil kepada kerajaan yang terkumpul akibat daripada aktiviti sindiket ini dianggarkan sekitar kira-kira RM12.73 juta sejak tahun 2018 sehingga 2022,” katanya.- UTUSAN