Sidang DUN: RM235 juta digunakan untuk kutipan sampah di Kedah

Sidang DUN: RM235 juta digunakan untuk kutipan sampah di Kedah

SIDANG Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang berlangsung di Wisma Darul Aman, Alor Setar.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Jumlah keseluruhan perbelanjaan bagi perkhidmatan kutipan sisa pepejal dan pembersihan awam di Kedah bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini mencecah RM235 juta.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan negeri, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, kebanyakan kos tersebut ditanggung Kerajaan Persekutuan dengan tuntutan bayaran kepada semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini hanya kira-kira RM40 juta.

Katanya, berdasarkan terimaan Kumpulan Wang Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (KWPSPPA) berakhir 31 Oktober lalu, jumlah tunggakan PBT di Kedah kepada Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) pula berjumlah RM89.5 juta.

“Tunggakan Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) mencecah RM23 juta, diikuti Majlis Perbandaran Kubang Pasu (MPKP) sebanyak RM12.6 juta dan tunggakan Majlis Daerah Yan mencecah RM9.6 juta.

“Selain itu, Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK) memiliki tunggakan sebanyak RM8.6 juta manakala tunggakan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) pula sebanyak RM8.4 juta serta Majlis Daerah Baling sebanyak RM6.6 juta,” katanya.

Mansor (PN-Kuala Ketil) menjawab soalan Teh Swee Leong (PH-Kota Darulaman) yang bertanyakan jumlah perbelanjaan pengurusan sisa pepejal dan hutang kepada SWCorp bagi setiap PBT pada tahun ini ketika sesi pertanyaan mulut Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Tambah Mansor, Majlis Daerah Bandar Baharu pula mempunyai tunggakan sebanyak RM6.2 juta diikuti Majlis Daerah Pendang sebanyak RM5.3 juta; Majlis Daerah Sik (RM3.8 juta); Majlis Perbandaran Sungai Petani (RM2.3 juta), Majlis Daerah Padang Terap (RM2 juta) dan PBT Hi-Tech Kulim (RM301,400).

Sementara itu, beliau memaklumkan, purata penerimaan sisa pepejal di Kedah pada tahun ini meningkat sedikit berbanding tahun lalu iaitu daripada 1,649 tan metrik setiap hari pada Oktober 2022 kepada 1,675 tan metrik setiap hari pada Oktober tahun ini.

“Ini bermakna, berlaku peningkatan sisa sebanyak 1.5 peratus pada tahun ini dan pada masa ini terdapat tiga tapak pelupusan sisa pepejal sanitari, sebuah loji insinerator dan sebuah Leachate Treatment Plant (LTP).

“Kesemua fasiliti itu milik Kerajaan Persekutuan di mana tapak pelupusan sanitari menyediakan kemudahan pusat perolehan bahan (MRF) yang berfungsi untuk mengasingkan bahan-bahan kitar semula sebelum dilupuskan bagi memastikan jangka hayat tapak pelupusan dapat bertahan lebih lama” katanya.  –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN