Sidang DUN: Pulau Pinang bentang bajet defisit, kali ke-13 sejak 2011 - Utusan Malaysia

Sidang DUN: Pulau Pinang bentang bajet defisit, kali ke-13 sejak 2011

CHOW Kon Yeow ketika membentangkan Bajet 2024 Pulau Pinang pada sidang DUN di George Town, Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang hari ini membentangkan Bajet 2024 dengan defisit sebanyak RM514.53 juta.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, nilai defisit itu bertambah sebanyak RM47.41 juta berbanding tahun lalu yang berjumlah RM467.12 juta.

“Mengambil kira jangkaan hasil tahun 2024 berjumlah RM533.08 juta berbanding perbelanjaan mengurus sebanyak RM1,047.60 juta, akan menjadikan Bajet 2024 mengalami defisit sebanyak RM514.53 juta.

“Namun, mengambil kira janji kerajaan negeri yang akan sentiasa berusaha dan berikhtiar untuk melonjakkan pembangunan negeri di samping memastikan kesejahteraan rakyat sentiasa dipelihara, maka bajet berdefisit perlu dilaksanakan,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, hari ini.

Untuk rekod, sejak 2011 Kerajaan Negeri Pulau Pinang membentangkan bajet defisit.

Menurut Kon Yeow (DAP-Padang) Kota, anggaran defisit atau kekurangan RM514.53 juta yang dijangka dalam Bajet 2024 akan dibiayai daripada rizab kerajaan negeri termasuk Akaun Amanah Disatukan yang berbaki sebanyak RM1.67 bilion pada 15 November lalu.

Kon Yeow berkata, perbelanjaan mengurus yang dicadangkan bagi tahun 2024 iaitu sebanyak RM1.047 billion menunjukkan peningkatan sebanyak RM58.13 juta berbanding tahun ini.

Jelas beliau, peningkatan perbelanjaan tahun 2024 antara lain disebabkan oleh komitmen berterusan kerajaan negeri dalam mempergiat program-program yang berorientasikan rakyat selain mengimbangi keperluan projek-projek pembangunan negeri.

Ujarnya, di bawah peruntukan mengurus 2024, sejumlah RM205.90 juta adalah bagi emolumen; perkhidmatan dan bekalan (RM214.37 juta); perolehan aset (RM3.38 juta); bagi pemberian dan kenaan bayaran tetap (RM622.59 juta) dan RM1.36 juta disediakan untuk perbelanjaan-perbelanjaan lain.

Tambahnya, perbelanjaan pemberian dan kenaan bayaran tetap kekal sebagai komponen terbesar mencakupi 59.43 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan mengurus.

“Jumlah ini termasuk caruman sejumlah RM240 juta kepada Kumpulan Wang Pembangunan Negeri, RM110.45 juta bagi program-program kebajikan negeri termasuk iSejahtera dan RM98.50 juta bagi penyediaan geran kepada anak-anak syarikat, badan berkanun negeri dan lain-lain agensi.

“Pertambahan peruntukan bagi objek-objek am secara dasarnya adalah bagi menampung keperluan kenaikan gaji tahunan, kenaikan kos bekalan dan keperluan menggantikan harta modal yang tidak lagi ekonomik,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, peningkatan belanja mengurus tersebut adalah pada tahap terkawal selaras dengan langkah-langkah yang telah diambil untuk mengawal dan menerapkan disiplin dalam perbelanjaan secara berhemat.

“Buktinya, sehingga 15 November lalu, perbelanjaan mengurus sebenar adalah sebanyak RM709.20 juta dan dijangka jauh berkurang berbanding unjuran perbelanjaan mengurus tahun 2023 sebanyak RM989.47 juta,” katanya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya