Sidang DUN P. Pinang: Kerajaan negeri rangka projek infrastruktur atasi masalah air di Sungai Bakap - Utusan Malaysia

Sidang DUN P. Pinang: Kerajaan negeri rangka projek infrastruktur atasi masalah air di Sungai Bakap

ZAIRIL Khir Johari pada sidang DUN Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Kerajaan negeri melalui Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) merangka beberapa projek infrastruktur bekalan air untuk mengatasi masalah krisis air di Mukim 5, Sungai Bakap, dekat sini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri, Zairil Khir Johari berkata, PBAPP merancang sebanyak empat projek infrastruktur bekalan air dengan kos pelaburan sebanyak RM24.6 juta.

Jelas beliau, projek itu sekiranya siap akan memberi manfaat kepada 18,066 pengguna secara keseluruhan.

“Antara projek yang dirancang ialah Loji pengapungan udara terlarut (DAF) 10 juta liter sehari (JLH) baharu di Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Panchor; LRA Kompak 2.4 JLH di Sungai Kerian; tangki sedutan baharu di Rumah Pam Taman Widuri dan Taman Wellesley serta dua LRA mudah alih di Taman Sungai Duri Indah,” katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini hari ini.

Zairil (DAP-Tanjung Bunga) menjawab soalan Nor Zamri Latiff (Pas-Sungai Bakap) mengenai langkah kerajaan negeri untuk mengatasi krisis air di Mukum 5, Sungai Bakap yang menyebabkan penduduk terkesan sejak 2019.

Menurut Zairil, walau bagaimanapun terdapat sedikit kelewatan dalam menyiapkan projek-projek itu mengikut perancangan asal.

Ini kerana, jelas beliau, PBAPP perlu memenuhi semua keperluan dan permintaan tambahan dari semasa ke semasa daripada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memastikan projek itu dilaksanakan mengikut garis panduan yang telah ditetapkan.

Dalam pada itu, katanya, kerajaan negeri juga telah mendapatkan penjelasan PBAPP yang mana bayaran bil air bergantung kepada bacaan meter air semasa.

”Jika ketiadaan air, tiada bacaan meter dan tiada bayaran yang akan dikenakan kepada pengguna yang terjejas.

“Oleh itu, kadar bil yang dikenakan adalah berdasarkan bacaan meter dan sekiranya terdapat isu-isu di luar jangkaan, pengguna boleh menghubungi pihak PBAPP dan melaporkan perkara tersebut untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya