Sidang DUN: Jumlah pelancong ke Pulau Pinang meningkat  - Utusan Malaysia

Sidang DUN: Jumlah pelancong ke Pulau Pinang meningkat 

WONG Hong Wai pada sidang DUN Pulau Pinang hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 

GEORGE TOWN: Jumlah pelancong ke Pulau Pinang bagi separuh pertama tahun ini menunjukkan peningkatan sebanyak 138.37 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hong Wai berkata, jumlah pelancong bagi separuh pertama tahun ini ialah seramai 1,682,094 orang manakala bagi separuh pertama tahun lalu sebanyak 705,670 orang.

Jelas beliau, pelancong yang yang masuk melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) melibatkan lebih dari 40 negara dan paling ramai ialah dari Indonesia iaitu seramai 163,187 orang diikuti Singapura (74,800), Taiwan (15,602) dan China (13,029).

“Pengumuman membuka pintu sempadan kepada pelancong antarabangsa bermula 1 April tahun lalu telah memberi impak yang positif kepada sektor pelancongan,”katanya dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang hari ini.

Hong Wai (DAP-Paya Terubong) menjawab soalan Heng Lee Lee (DAP-Berapit) mengenai industri pelancongan di Pulau Pinang.

Menurut Hong Wai, perkembangan positif industri pelancongan di Pulau Pinang itu dapat dilihat dengan peningkatan penerbangan terus ke Pulau Pinang antaranya melibatkan Xiamen Airlines (Xiamen-Penang); Qatar Airlines (Doha-Penang) dan Firefly (Bangkok-Penang).

Katanya, penerbangan terus itu adalah satu aspek yang amat penting untuk meningkatkan jumlah pelancong ke Pulau Pinang.

”Lebih banyak destinasi dan pilihan penerbangan akan membantu menarik minat pelancong dari pelbagai latar belakang. Flydubai Airlines turut mengumumkan permulaan penerbangan terus dari Dubai ke Pulau Pinang pada Februari 2024,” katanya.

Sementara itu, dalam sesi penggulungan, Hong Wai berkata, kerajaan negeri juga dalam usaha untuk menggalakkan pelancongan luar bandar di Pulau Pinang.

“Dari segi promosi pelancongan, Penang Global Tourism (PGT) telah mempromosi pelancongan luar bandar di dalam dan luar negara.

“Antaranya melalui pelbagai kempen seperti Re- Experience Penang dalam enam cara terbaharu yang termasuk mempromosikan The Other Side of The Island Balik Pulau dan The Opposite Side of The Island Seberang Perai. Kempen tersebut dipromosikan melalui siri jelajah, media sosial serta bahan bercetak,” katanya.

Tambahnya, selain itu, PGT juga mempromosikan inap desa dan aktiviti luar bandar untuk pelancong dan pelajar domestik serta antarabangsa. – UTUSAN

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.