SEREMBAN: Siapakah pemimpin yang akan mengetuai Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan kini menimbulkan persoalan.
Ia selepas terdapat gesaan untuk Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan ketika ini iaitu Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu untuk melepaskan jawatannya itu.
Ahmad Faizal yang juga merupakan Ketua Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan malah dalam kenyataan balas seperti yang dilaporkan media memaklumkan bahawa jawatan dipikulnya itu boleh disandang selepas oleh pemimpin tempatan.
Beliau turut dilaporkan bercadang untuk memaklumkan agar dibuat pertukaran jawatan tersebut kepada Pengerusi dan Majlis Tertinggi PN yang mempunyai kuasa untuk melantik dan memberi persetujuan mengenainya.
Walaupun PN bukanlah sebuah parti yang dominan di negeri ini namun berbekalkan lima buah kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan, peranan seorang ketua di peringkat negeri adalah penting bagi parti itu.
Ia bagi memastikan PN dapat memainkan peranan penting dalam semak dan imbang kepada kerajaan negeri hasil gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) sekali gus menjadi pembangkang yang berwibawa.
Apatah lagi kelima-lima wakil rakyat mereka iaitu dua daripada Bersatu dan tiga lagi dari Pas pertama kali bergelar yang berhormat dan dilihat masih memerlukan ‘tunjuk ajar’ daripada individu yang berpengalaman.
Tidak banyak nama yang diketahui berkelayakan untuk jawatan itu, namun yang paling banyak disebut dan tidak dinafikan kelayakannya ialah pemimpin veteran yang juga Ketua Bersatu Bahagian Jelebu, Tan Sri Dr. Rais Yatim.
Perkara tersebut turut diakui oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Labu yang juga Ketua Bersatu Bahagian Rasah, Mohamad Hanifah Abu Baker yang namanya turut disebut untuk memikul jawatan berkenaan.
“Bagi saya, Tan Sri Rais layak untuk itu, beliau mempunyai pengalaman yang cukup banyak malah pernah memimpin Bersatu Negeri Sembilan untuk tempoh dua tahun, di bawah pimpinannya itu juga lebih teratur. Sebagai orang lama tentu beliau akan lebih dihormati, saya rasa tiada isu besar dan kebanyakan bahagian juga akan bersetuju,” katanya. – UTUSAN











