KUALA LUMPUR: Pelakon Sharnaaz Ahmad mahu representasi bagi menggugurkan pertuduhan jenayah terhadapnya diputuskan secepat mungkin kerana kelewatan itu mengganggu urusan sehariannya.
Sambil mengaku kecewa kerana kes itu sudah berlarutan lebih setahun, pelakon tersebut benar-benar berharap representasi dipertimbangkan kerana beliau difahamkan pengadu kes telah menarik balik laporan polis yang dibuatnya.
“Bila kes ini berpanjangan, maknanya sistem perbankan berkaitan projek kerja saya akan naik `warning’ dan menyebabkan perjalanan kerja serta perniagaan yang saya usahakan terganggu.
“Perkara ini bukan saya minta, tetapi ini mengganggu sebenarnya. Kes sangat kecil kerana pengadu difahamkan sudah menarik balik laporan namun saya kena ikut prosedur dan hormati mahkamah.
“Sudah setahun setengah, kalau boleh saya ingin percepatkan sebab saya pun ada urusan, kecewa tu datang sedikit tapi hendak buat macam mana, kita kena ikut undang-undang
“Kita bukan hendak tunjuk kita tak bersalah dan sebagainya, benda boleh selesai secara elok, lebih baik diselesaikan,” ujarnya ketika ditemui di pekarangan mahkamah selepas prosiding itu.
Semalam, Mahkamah Majistret di sini sepatutnya dimaklumkan perkembangan representasi yang dikemukakan oleh Sharnaaz untuk menggugurkan pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap seorang lelaki di sebuah kondominium, tahun lalu.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nadia Eleena Jamaluddin Akbal memaklumkan representasi yang dihantar 2 Mei lalu masih dalam pertimbangan pihak pendakwaan manakala kertas siasatan masih berada di Jabatan Peguam Negara (AGC).
Majistret Atiqah Mohamed @ Mohamad Saim kemudian menetapkan 17 November ini untuk status representasi.
Sementara itu, peguam Mohamed Baharuden Mohamed Ariff menjelaskan, kes yang dihadapi oleh Sharnaaz atau nama sebenarnya Sharnaaz Ahmad Bazir Ahmad merupakan kes saman di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan.
Seorang lagi peguam Datuk Abu Bakar Isa Ramat pula menyatakan, Sharnaaz mempunyai pilihan sama ada untuk mengaku bersalah dan dikompaun atau meneruskan dengan perbicaraan.
“Kalau Sharnaaz memilih menyelesaikan kes, pagi ini (semalam) dia boleh mengaku dan bayar kompaun macam bayar kes saman. Tapi kalau Sharnaaz mengaku, dikhuatiri pihak ketiga atau orang awam akan menganggap dia mengaku atas pertuduhan yang dikenakan.
“Dalam kes ini kalau Sharnaaz mengaku, (maknanya) dia mengaku berlakunya pergelutan. Tapi kami difahamkan pengadu telah menarik balik laporan, sebab itu kita tidak ambil pilihan untuk mengaku bersalah,” ujar beliau.
Mengikut pertuduhan, Sharnaaz, 38, didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang lelaki berusia 27 tahun di kawasan lif pintu masuk sebuah blok kondominium di Jalan Dutamas di sini pukul 8.30 malam pada 16 Jun 2022. – UTUSAN










