Semua 22 hospital Gaza lumpuh dikepung Zionis, tiada elektrik dan ubat

Semua 22 hospital Gaza lumpuh dikepung Zionis, tiada elektrik dan ubat

PILU… Empat beradik rakyat Palestin menenangkan ibu mereka yang cedera sebaik sahaja tiba di Hospital Nasser, Khan Younis di selatan Gaza untuk mendapatkan rawatan. - AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Selepas memusnahkan infrastruktur di Gaza, rejim zionis kini mula menjadikan semua 22 hospital sebagai sasaran serangan kerana menjadi tempat penduduk Palestin berlindung.

Kebanyakan hospital di utara kawasan Palestin disekat oleh tentera Israel dengan kakitangan perubatan mengadu semakin sukar untuk membantu dan melindungi pesakit serta pelarian yang berada di situ.

Israel mendakwa sedang meneruskan misi menyerang pejuang Hamas di kawasan sekitar dan memaksa semua yang berada di hospital dipindahkan.

Sementara itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menghadiri Mesyuarat Ke-30 Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di San Francisco, California, Amerika Syarikat (AS) bermula hari ini akan mengetengahkan situasi di Palestin untuk meraih sokongan global, akses kemanusiaan dan penyelesaian yang adil.

Dua lagi hospital utama di Gaza ditutup kepada pesakit baharu dan kakitangan berkata, pengeboman Israel ditambah kekurangan bahan api serta ubat-ubatan bakal menyebabkan lebih ramai bayi dan pesakit tidak dapat diselamatkan.

Keadaan itu juga memaksa hospital terbesar dan kedua terbesar di Gaza iaitu Al-Shifa serta Al-Quds menangguhkan sementara operasinya.

Lebih separuh daripada hospital di sekitar wilayah itu juga kini tidak beroperasi, menyebabkan semakin sukar untuk mereka yang cedera mendapatkan rawatan.

“Anak saya cedera tetapi tidak ada satu hospital pun yang dibuka untuk membantu menjahit lukanya yang terbuka,” kata Ahmed al-Kahlout selepas melarikan diri ke selatan mengikut nasihat Israel tetapi bimbang tiada tempat selamat di Gaza.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berjaya memulihkan komunikasi dengan profesional kesihatan di Al-Shifa namun Ketua Pengarahnya, Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, keadaannya sudah semakin berbahaya.

Tegasnya, tembakan berterusan dan pengeboman memburukkan lagi keadaan pesakit yang sudah kritikal.

“Amat menyedihkan, jumlah kematian pesakit meningkat dengan ketara. Malangnya, hospital tidak dapat berfungsi sebagai hospital lagi,” katanya di laman X.

Seorang pakar bedah plastik di hospital Al-Shifa berkata, pengeboman ke atas bangunan yang menempatkan inkubator memaksa mereka meletakkan bayi pramatang di atas katil biasa dan menggunakan sedikit kuasa yang ada untuk menghidupkan pendingin hawa.

“Kami menjangkakan kehilangan lebih banyak nyawa mereka hari demi hari,” kata Dr. Ahmed El Mokhallalati.

Semalam, seorang pegawai Palestin memaklumkan, Hamas menangguhkan rundingan untuk pembebasan tebusan kerana cara Israel mengendalikan hospital Al-Shifa.

Kelmarin, tentera Israel mendakwa menawarkan untuk memindahkan bayi baru lahir dan meletakkan 300 liter bahan api di pintu masuk hospital Al-Shifa tetapi kedua-dua usaha itu disekat oleh Hamas.

Bagaimanapun Pengarah Al-Shifa, Muhammad Abu Salmiya berkata, laporan itu adalah pembohongan dan fitnah.

Malah, doktor di Hospital Nasser di Khan Younis di selatan Gaza yang berhubung dengan rakan sekerja di hospital berkenaan berkata, kemudahan itu berada di luar jangkauan mereka yang cedera.

“Hospital Al-Shifa sekarang tidak berfungsi, tiada sesiapa dibenarkan masuk dan tiada sesiapa juga yang dibenarkan keluar,” katanya.

Bulan Sabit Merah Palestin berkata, hospital Al-Quds juga tidak beroperasi, dengan kakitangan bergelut untuk menjaga mereka yang sudah berada di sana kerana kekurangan ubat, makanan dan air.

“Hospital Al Quds turut terputus dari dunia luar dalam tempoh enam hingga tujuh hari yang lalu. Tiada jalan masuk, tiada jalan keluar,” kata jurucakap Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC), Tommaso Della Longa.

Tiga agensi PBB meluahkan rasa kesal selepas lebih 137 serangan dilakukan ke atas kemudahan penjagaan kesihatan, mengakibatkan 521 kematian dan 686 kecederaan.

Jumlah itu termasuk 16 kematian dan 38 kes kecederaa serius melibatkan pegawai perubatan sepanjang tempoh 37 hari konflik.

“Dunia tidak boleh berdiam diri dan membiarkan hospital yang sepatutnya menjadi tempat selamat berubah menjadi lokasi kematian, kemusnahan dan kekecewaan,” kata agensi itu. – REUTERS

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN