Sekolah vernakular Cina, Tamil akan terus guna bahasa ibunda

Parlimen: Sekolah vernakular Cina, Tamil akan terus beroperasi guna bahasa ibunda sendiri

LIM HUI YING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan memberitahu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC dan SJKT) akan terus beroperasi menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar untuk pengajian, pengajaran dan pembelajaran secara sah di sisi undang-undang dan dilindungi Perlembagaan Persekutuan.

Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying berkata demikian selepas Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan menolak rayuan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah vernakular.

“Sebelum saya mula, saya ingin buat satu pengumuman. Kementerian Pendidikan menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan pada pagi ini yang sebulat suara menolak rayuan difailkan oleh empat NGO yang memohon untuk mengisytiharkan bahasa Cina dan Tamil di sekolah vernakular tidak sah mengikut Perlembagaan Persekutuan.

“Sehubungan itu, SJKC dan SJKT akan terus beroperasi menggunakan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar untuk pengajian, pengajaran dan pembelajaran secara sah di sisi undang-undang dan dilindungi Perlembagaan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebelum menjawab soalan keempat pada sesi pertanyaan-pertanyaan jawab lisan yang dikemukakan Datuk Ahmad Marzuk Shaary [PN-Pengkalan Chepa].

Pagi tadi, Mahkamah Rayuan memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Mandarin serta bahasa Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah vernakular sah di sisi undang-undang.

Keputusan sebulat suara itu dicapai oleh panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Supang Lian ketika menolak rayuan empat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berhubung isu bahasa di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil (SJKC dan SJKT).

Perayu-perayu terdiri daripada Majlis Pembangunan Pendidikan Islam Malaysia (Mappim), Gabungan Persatuan Penulis Malaysia (Gapena), Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) dan Ikatan Guru-guru Muslim Malaysia (i-Guru).

Hakim Supang yang bersidang bersama-sama Datuk M. Gunalan dan Datuk Azizul Azmi Adnan berpuas hati sekolah vernakular bukan pihak berkuasa awam dan penggunaan bahasa pengantar yang bukan bahasa Melayu untuk pengajaran di sekolah vernakular Cina serta Tamil, tidak bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Dalam prosiding hari ini, i-Guru merayu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kota Bharu, Mohd. Abazafree Mohd. Abbas pada 29 Mei 2022 yang menolak samannya.

NGO itu merayu agar Seksyen 17 dan 28 Akta Pendidikan 1996 yang membenarkan penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil sebagai bahasa pengantar di sekolah Cina dan Tamil, diisytihar tidak konsisten dengan Perlembagaan.

Mappim, Gapena dan Isma pula merayu keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 29 Disember 2021 yang menolak saman berhubung keabsahan sekolah vernakular dan penggunaan bahasa Cina dan Tamil di sekolah tersebut.

Hakim Datuk Mohd. Nazlan (kini hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan kewujudan dan penubuhan sekolah vernakular serta penggunaan bahasa Mandarin dan Tamil di sekolah terbabit adalah sah serta berperlembagaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN