PETALING JAYA: Penyanyi dan cef selebriti, Datuk Fazley Yaakob menasihatkan rakan selebriti dan pempengaruh untuk bijak menilai serta memahami sesuatu fakta seblum menyatakan sokongan atau pendapat terhadap isu tertentu.
Jelasnya, individu yang mempunyai pengaruh dan menjadi figura umum harus mempunyai prinsip khusus yang disokong dengan fakta supaya tidak sewenang-wenangnya memberi sokongan terhadap pihak yang tidak sepatutnya.
“Sebenarnya, isu ini mudah sahaja. Sebelum buat sebarang keputusan, kita perlu bijak menilai dan berusaha mencari fakta yang tepat. Itu penting sebelum kitamenyatakan sokongan atau pihak-pihak tertentu.
“Apatah lagi berhubung isu yang sudah terang lagi bersuluh. Sebagai figura umum, kita perlu ada pendirian yang khusus dan yang disokong oleh fakta. Bukan fakta yang dicipta oleh netizen.
“Selebriti dan pempengaruh adalah individu yang dipandang tinggi namun dalam pada masa yang sama, boleh dilihat hina. Sebelum buat sesuatu fikir 10 kali. Tak salah pun kalau padam semua jika salah,” katanya.
Fazley ditemui sidang media Tepok Bulu 2023: Tribute to Istora yang bakal berlangsung di 17 November depan di sini semalam.
Penyanyi Asmara Ini itu bakal bergandingan dengan penyampai radio, Imran Aqil untuk mewakili Malaysia melawan Duta Sheila On 7 dan Vincent Rompies dalam perlawanan badminton melibatkan dua negara itu.
Sementara itu, kongsi Fazley lagi, dalam era media sosial yang semakin mencabar ini, sebarang hantaran, tanda suka, tanda pagar atau simbol emoji juga terutama menyentuh isu sensitiviti.
“Dalam era media sosial kini, kita tidak boleh menujukkan sokongan terhadap pihak yang sudah terang-terangan salah. Tidak kiralah tanda suka, tanda pagar atau sebarang emoji. Tidak boleh sama sekali.
“Bila memuat naik sesuatu hantaran itu, sensitiviti harus diambil kira. Terutama apabila melibatkan isu dunia. Bila kita menyatakan sokongan terhadap mereka yang tidak sepatutnya, itu akan memberi impak kepada industri seni dan individu itu sendiri,” ujarnya.