Scammer guna syarikat perniagaan jadi akaun keldai perdaya

Scammer guna syarikat perniagaan jadi akaun keldai perdaya mangsa

Ramli Mohamed Yoosuf
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesan kewujudan akaun keldai melalui pendaftaran syarikat dan pembukaan akaun bank atas nama syarikat bagi tujuan penipuan pelaburan. 

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli  Mohamed Yoosuf berkata, siasatan mendapati sindiket kini menyasarkan syarikat perniagaan bagi membuka akaun bank untuk membolehkan transaksi kewangan dilakukan lebih kerap dan melibatkan jumlah yang besar.

Katanya, setakat ini, pihak PDRM mengesan sebanyak 86 syarikat dan 70 perniagaan yang didaftarkan untuk tujuan tersebut.

“Satu kes menarik apabila kita mengesan pengarah sebuah syarikat yang digunakan sebagai syarikat keldai akaun didapati memiliki pelbagai rekod lampau kes dadah.

“Malah, pengarah itu sendiri tidak tahu serta tidak sedar bahawa dia diperalatkan sebagai pengarah syarikat keldai akaun oleh sindiket tersebut melibatkan transaksi wang yang lebih besar,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di Jalan Tun Razak di sini hari ini.

Justeru, polis sedang menjalankan siasatan lanjut bagi mengetahui kegiatan pembukaan keldai akaun syarikat boleh berlaku tanpa disedari pengarah syarikat itu sendiri.

Tegasnya, kegiatan itu merupakan perkara serius selain menunjukkan kelompangan dalam perundangan.

“Hal ini sehingga menyebabkan seseorang itu tidak sedar bahawa namanya digunakan untuk keldai akaun syarikat oleh sindiket.

“Jika perkara ini berterusan tanpa tindakan, ia bukan sahaja melibatkan kehadiran wang secara tidak sah di dalam negara, tetapi juga ke luar negara,” ujarnya.

Sebagai langkah pencegahan, tegasnya, PDRM mencadangkan agar prosedur serta syarat pendaftaran syarikat dan perniagaan diperhalusi dan diperketatkan.

Menurut beliau, beberapa kriteria antaranya tapisan rekod jenayah dan rekod kewangan wajar dipertimbangkan untuk dijadikan sebahagian prasyarat sebelum pendaftaran sesebuah syarikat serta perniagaan itu diluluskan.

“Perkara yang sama disarankan PDRM dalam soal pembukaan akaun bank di institusi kewangan yang mana semakan yang terperinci dan syarat yang lebih ketat perlu dikenakan sebelum pembukaan akaun bank milik syarikat atau perniagaan diluluskan. 

“Adalah juga disarankan agar pihak kerajaan turut melihat cadangan ‘Shared Responsibility Framework’ seperti yang diperkenalkan oleh kerajaan Singapura dalam usaha membendung kes phishing scam di sana yang mana pihak institusi kewangan yang gagal melaksanakan peranan mereka dengan sewajarnya boleh dipertanggungjawabkan untuk membayar kerugian yang dialami oleh mangsa,” ujar beliau.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN