PETALING JAYA: Ahli Parlimen Labuan, Datuk Dr. Suhaili Abdul Rahman menegaskan, beliau tidak menerima sebarang ugutan atau tawaran sebelum membuat keputusan menyokong kepemimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Suhaili berkata, beliau sudah mempertimbang kesan tindakan itu dalam tempoh hampir setahun sebelum mengumumkan sokongan tersebut.
Katanya, beliau hanya berpeluang bertemu dengan Anwar selepas mengumumkan sokongannya.
“Saya tidak menerima apa-apa ugutan, tidak terima tawaran, tidak pernah Perdana Menteri hantar orang temui saya dan saya tidak jumpa Perdana Menteri pun sebelum isytihar sokongan.
“Surat saya jelas. Saya nyatakan sokongan dengan ikhlas dan sukarela kerana semua itu sudah difikirkan hampir setahun lamanya. Baik buruk jika menyokong semua diambil kira.
“Saya tergerak hati apabila melihat keperluan rakyat Labuan terdesak memerlukan sokongan atas kapasiti saya sebagai Ahli Parlimen Labuan,” katanya ketika dihubungi, semalam.
Suhaili berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pihaknya ada menerima ugutan atau sebaliknya setelah menjadi ahli Parlimen kedua daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong Anwar selepas Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid memulakan langkah pada 12 Oktober lalu.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini dilaporkan mendakwa, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengugut Iskandar Dzulkarnain supaya menyokong kerajaan atau menghadapi pertuduhan rasuah.
Setakat ini, Perikatan Nasional (PN) dilapor sedang mengumpul bahan bukti berhubung dakwaan ugutan diterima ahli Parlimen pembangkang supaya menyokong Kerajaan Perpaduan.
Berhubung tindakan Bersatu yang menggantung Iskandar Dzulkarnain selama tempoh empat tahun, Suhaili berkata, beliau percaya sebagai ahli parti pasti akan akur dengan keputusan dasar parti.
“Kita tidak tinggal parti, tetapi kalau mahu tarik balik sokongan (terhadap Anwar) untuk membolehkan penggantungan keahlian digugurkan, saya tidak fikir Iskandar akan tarik balik.
“Jika perkara sama berlaku kepada saya, saya akan terima sebab itu sudah keputusan parti dan kita sebagai ahli perlu akur.
“Tetapi, sebagai ahli Parlimen, saya bertanggungjawab kepada rakyat Labuan dan keputusan sokong Perdana Menteri tidak boleh berubah kerana penjelasan saya sudah jelas saya buat semua ni untuk Parlimen Labuan,” katanya.
Jelas Suhaili, beliau akan terus berkhidmat kepada rakyat dan jika digantung, beliau tetap menjadi Ahli Parlimen PN.
“Kalau dipecat, maka saya akan tetap berkhidmat untuk rakyat. Bagi saya, rakyat didahulukan,” katanya. – UTUSAN











