KUALA LUMPUR: Penyanyi, Tom reda dengan ketentuan dia dan suaminya, Fuad Rahman gagal mara ke peringkat akhir Famili Duo musim ke-3 minggu hadapan.
Katanya, dia terima keadaan itu sebagai petanda dia perlu berehat dan memberi tumpuan kepada kehamilannya yang kini berusia tujuh bulan.
“Memang kami harapkan ke final. Sekiranya ada rezeki, saya dan suami akan teruskan dalam apa keadaan sekalipun. Tapi, sudah ditentukan kami tidak berpeluang. Saya anggap ini petanda Tuhan mahu saya berehat.
“Kalau ditanya tentang keadaan, saya akan kata okey walaupun hakikatnya, tidak. Dengan kehamilan yang sudah berusia tujuh bulan, saya memang sangat penat, dengan emosi saya lagi yang tak seimbang. Sebelum ini saya kata saya kuat, sebenarnya saya terlalu penat.
“Setiap minggu saya cuba lawan. Saya rasa saya boleh. Tapi bila diumumkan kami tak mara ke final, saya terus fikir Tuhan nak bagi saya rehat,” kongsinya pada sidang media selepas konsert separuh akhir Famili Duo musim ketiga, semalam.
Tom dan Fuad antara tiga peserta program itu yang tersingkir malam semalam selain Shila dan Syahir Amzah serta Adam dan Ryan Bakery.
Jelas Tom lagi, dia dan suami sentiasa beri yang terbaik menjelang konsert mingguan Famili Duo meskipun keadaannya sarat hamil.
“Sumber kekuatan saya adalah anak-anak dan suami. Dalam masa yang sama, saya sangat minat menyanyi dan membuat persembahan. Jadi kerinduan untuk membuat persembahan itu sudah terawat,” ujarnya.