PETALING JAYA: “Saya sangat burn out.”
Demikian luahan penyanyi, Shila Amzah yang memberi bayangan terlalu letih dengan masalah kehidupan sehingga menimbulkan persoalan dalam diri sama ada mahu meneruskan kerjaya seninya atau tidak.
Kongsi penyanyi Memori Tercipta itu, dia kerap kali bertanyakan soalan sama kepada dirinya dan tidak tahu bagaimana untuk menyelesaikan masalahnya.
“Saya sangat burnout. Saya tidak pasti jika saya membuat keputusan yang tepat berhubung karier.
“Saya lebih banyak mempersoalkan diri sejak kebelakangan ini dan tidak tahu cara untuk memperbaikinya,” tulis Shila di Instastory.
Perkongsian tersebut bagaimanapun tidak menjelaskan masalah sebenarnya yang dihadapi penyanyi berusia 33 tahun.
Luahan penyanyi yang juga isteri kepada pempengaruh, Ubai MZ itu dipercayai berpunca daripada masalah keluarga yang dihadapinya sejak bulan lalu.
Selain itu, dia juga dikatakan tertekan selepas prestasinya dalam program Famili Duo musim ketiga (FD3) kurang menyerlah dan gagal meraih perhatian juri serta pengundi.