RM9.2 juta berjaya dikutip sepanjang Minggu Solidariti Palestin 

RM9.2 juta berjaya dikutip sepanjang Minggu Solidariti Palestin 

NIK NasarudinMohd. Zawawi (lima dari kiri) menyerahkan cek cura Dana Kemanusiaan Palestin kepada Fadhlina Sidek di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya, semalam. - FOTO/KEMENTERIAN PENDIDIKAN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kementerian Pendidikan (KPM) berjaya mengutip RM9.2 juta dana kemanusiaan untuk rakyat Palestin sepanjang pelaksanaan Minggu Solidariti Palestin sejak 29 Oktober hingga 3 November lalu.

KPM dalam kenyataan berkata, Ketua Setiausahanya, Datuk Indera Nik Nasarudin Mohd. Zawawi telah menyerahkan cek cura Dana Kemanusiaan Palestin kepada Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

KPM terdahulu melaksanakan aktiviti kemuncak program itu semalam di Sekolah Sultan Alam Shah, Putrajaya yang dihadiri Fadhlina dan melibatkan 800 murid sekolah.

“Antara pengisian utama acara ini termasuk deklamasi sajak, persembahan lakonan dan nyanyian serta pidato kemanusiaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Pada Khamis lalu dalam mesyuarat Dewan Rakyat, Fadhlina gagal menyembunyikan emosinya sehingga menitiskan air mata, sejurus menyentuh isu Minggu Solidariti Palestin yang mencetus kontroversi di seluruh negara.

Beliau kelihatan sebak ketika meneruskan penggulungannya yang mempertahan kewajaran kerajaan melaksana program itu sebagai mendidik murid sekolah tentang erti kemanusiaan dan kedamaian.

“Berilah ruang kepada kami (KPM) untuk melaksanakan tanggungjawab kami dan mengutamakan proses pendidikan kemanusiaan ini. Jangan kacau kami, jangan usik sekolah kami, jangan usik guru-guru kami. Yang sana (pembangkang) atau sini (kerajaan) sama sahaja, jangan usik!” katanya.

Bagaimanapun, ahli-ahli Parlimen pembangkang nampaknya tidak termakan dengan pujukan dan rayuan Fadhlina berkenaan Minggu Solidariti Palestin sekali pun beliau sebak di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari sebaliknya menasihati Fadhlina supaya tidak ‘berlakon’ atas isu Palestin, malah beliau tidak perlu menampilkan emosi sedemikian di hadapan ahli-ahli Dewan Rakyat.

KPM sebelum ini dilaporkan melaksanakan Minggu Solidariti Palestin pada 29 Oktober lalu hingga 3 November bertujuan mendidik nilai-nilai manusiawi, termasuk hak asasi manusia dan sifat ihsan, dalam kalangan pelajar.

Ia susulan serangan dan kekejaman zionis Israel terhadap rakyat di Gaza, Palestin, sehingga mengorbankan ribuan nyawa.

Selain sekolah, arahan KPM juga melibatkan kolej vokasional, kolej matrikulasi dan Institut Pendidikan Guru (IPG) di seluruh negara.

Beberapa wakil rakyat sebelum ini telah menyuarakan bantahan dengan antaranya berkata sekolah perlu kekal menjadi ruang neutral untuk pembelajaran dan pemahaman. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN