KANGAR: Isu alur pelayaran cetek di kawasan perairan sekitar terminal Feri Kuala Perlis yang sering menyebabkan jadual perjalanan feri ke Pulau Langkawi tertangguh kembali berulang walaupun kerja-kerja pengerukan selesai dilaksanakan September lalu.
Dalam tempoh empat bulan sahaja, alur pelayaran berkenaan kembali cetek berikutan daripada mendapan lumpur sekali gus mengganggu pelayaran keluar masuk feri.
Disebabkan permasalahan berkenaan juga, pihak operator feri terpaksa mengehadkan perjalanan pada setiap hari bagi memastikan alur pelayaran selamat sebelum berlabuh di terminal berkenaan.
Sewaktu awal kerja-kerja pengerukan selesai dilaksanakan sebelum ini, feri yang ingin mengambil penumpang boleh berlabuh di terminal berkenaan sekiranya air mencapai paras 1.1 meter.
Bagaimanapun, bermula Januari tahun hadapan, paras air bagi feri berlabuh di terminal berkenaan akan dinaikkan kepada 1.2 meter bagi menggelakkan daripada terkandas disebabkan perairan cetek.

Untuk rekod, bermula sejak 2003 sehingga 2022, sejumlah RM101.1 juta telah diperuntukkan bagi kerja-kerja pengerukan di muara Kuala Perlis dalam mengatasi isu alur pelayaran cetek tersebut.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang ejen pelancongan, Faizol Abidin, 40, berkata, kerja-kerja pengerukan itu dilihat sebagai sia-sia dan merupakan pembaziran berikutan permasalahan berkenaan kembali berulang tidak sampai tempoh setahun.
“Ratusan juta wang telah diperuntukan bagi mengatasi isu perairan cetek di kawasan terminal ini namun akhirnya permasalahan sama kembali berulang dan menyukarkan banyak pihak termasuk pelancong,” katanya.
Di samping itu, Faizol berkata, isu alur pelayaran cetek itu sememangnya menjejaskan perkhidmatan feri penumpang ke Pulau Langkawi berikutan kekerapan trip perjalanannya telah berkurang.
Katanya, faktor tersebut juga menyebabkan pelancong bosan untuk berkunjung ke pulau peranginan berkenaan dan lebih memilih ke tempat percutian lain.
“Buat sementara waktu mungkin pihak berkaitan boleh mempertimbangkan penggunaan feri yang lebih kecil bagi menambah kekerapan perkhidmatan itu pada setiap hari,” katanya.
Dalam pada itu, seorang peniaga gerai yang dikenali sebagai Syed, 63, berkata, sekiranya perkhidmatan feri kembali pulih, sektor pelancongan Pulau Langkawi akan dapat dirancakkan semula seperti sebelum pandemik Covid-19.
Katanya, situasi itu akan turut memberi limpahan buat peniaga-peniaga berhampiran kawasan terminal itu bagi meraih keuntungan jualan harian.
“Dulu sebelum pandemik saya mampu raih RM1,000 sehari namun kini nak dapat RM200 sehari pun susah.
“Jika perkhidmatan feri dapat dikembalikan macam dulu, pasti ramai pelancong akan datang ke sini sekali gus memberi limpahan kepada peniaga sekitar,” katanya. – UTUSAN










