Rayu permudah isu rakyat Sabah, Sarawak tiada dokumen diri

Rayu permudah isu rakyat Sabah, Sarawak tiada dokumen diri

HISHAMUDDIN Hashim menyerahkan memorandum sokongan kepada wakil KDN, Mohamad Khusaini Abdul Manan di Putrajaya. - UTUSAN/AMREE AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri (KDN) dirayu agar dapat mempermudahkan isu status penduduk Sabah dan Sarawak yang tiada dokumen pengenalan diri sejak lahir lagi.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, mereka lahir di Malaysia, namun tidak cukup syarat kerakyatan kerana ibu bapa tiada sijil nikah oleh jabatan agama Islam disebabkan salah seorang bukan warganegara.

Menurut beliau, mereka cuma ada pas lawatan IMM13 dikeluarkan Jabatan Imigresen Malaysia menurut peruntukan Peraturan 11 Imigresen 1963 yang perlu diperbaharui setiap tahun.

“Masalah timbul apabila ramai pemegang pas itu yang berada di Semenanjung disekat untuk pulang ke negeri tersebut.

“MHO cuba bantu, namun pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pula mengarahkan dibuat proses dokumentasi di Sabah pula malah enggan terima sijil lahir mereka,” katanya selepas menyerahkan memorandum sokongan MHO kepada pihak KDN berhubung isu pengurusan individu tanpa negara atau ‘stateless’ dari Sabah dan Sarawak, di sini hari ini.

Kenyataan tersebut yang turut mengandungi pelbagai cadangan MHO diterima wakil kementerian berkenaan, Mohamad Khusaini Abdul Manan.

Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail ketika sesi di Parlimen menyatakan kesediaan menyelesaikan isu rakyat tiada dokumen identiti sendiri.

Hishamuddin berkata, isu sama turut dialami pemegang dokumen perakuan sementara atau MyKAS yang lazim dirujuk kad pengenalan warna hijau walaupun lahir di Malaysia.

Mereka jelasnya, dinafikan segala hak sebagai warganegara terutamanya pendidikan dan dibimbangi berisiko terjebak dalam jenayah selain dieksploitasi sebagai hamba moden.

Justeru beliau merayu KDN melalui JPN supaya masalah dialami ribuan pemegang MyKAS dan IMM13 khususnya dari Sabah dapat selesai segera demi keadilan kepada mereka.

Hishamuddin mendedahkan, ramai kalangan individu itu dinafikan hak pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan dibekukan tabungan akaun bank sendiri.

“Mereka ini sudah puluhan tahun hidup di Malaysia tetapi dizalimi hanya kerana ‘dosa’ status ibu bapa tidak boleh disahkan dan kesan buruknya dirasai sehingga mati,” katanya.

Bahkan, beliau kesal apabila dianggarkan lebih 9,000 individu ‘stateless’ telah ditahan dalam tiga depoh imigresen di Sabah dan dilayan sama seperti pendatang asing tanpa izin. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya