KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Dr P. Ramasamy diarahkan membayar RM1.52 juta kepada Dr. Zakir Naik berhubung lima kenyataan memfitnah terhadap penceramah bebas itu.
Bekas pemimpin DAP itu perlu berbuat demikian dalam tempoh 30 hari setelah Mahkamah Tinggi di sini semalam membenarkan saman dikemukakan Zakir, empat tahun lalu.
Jumlah RM1.52 juta itu membabitkan ganti rugi am bernilai RM1 juta, RM250,000 (ganti rugi teladan), RM100,000 (ganti rugi kerosakan teruk), RM100,000 (pampasan dan kerosakan teruk) dan kos RM70,000.
Hakim Hayatul Akmal Abdul Aziz membuat keputusan demikian setelah mendapati Zakir berjaya memenuhi tiga elemen fitnah yang dilemparkan Ramasamy selaku defendan.
Hakim itu berkata, Ramasamy gagal menunjukkan bahawa dia berhak mendapat pembelaan justifikasi dan ulasan yang adil.
“Selepas mempertimbang hujah dan bukti pihak-pihak di perbicaraan, saya dapati Ramasamy ternyata tidak dapat membuktikan kebenaran atau mewajarkan penerbitan itu dengan sewajarnya daripada kenyataan-kenyataannya yang telah memfitnah Zakir,” katanya.
Bagaimanapun mahkamah membenarkan permohonan Ramasamy untuk menangguhkan permohonan mohon maaf kepada Zakir dan menetapkan tarikh 1 Disember ini untuk pendengaran.
Terdahulu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Zakir memberitahu mahkamah, anak guamnya tidak dapat hadir prosiding kerana berada di Nigeria untuk program ceramah sehingga 5 November ini.
Pada Oktober dan Disember 2019, Zakir memfailkan dua saman mendakwa Ramasamy mengeluarkan lima kenyataan memfitnahnya.
Dalam pernyataan tuntutan, beliau mendakwa Ramasamy memfitnahnya pada 10 April 2016, dengan memanggilnya ‘syaitan’ dalam laman Facebook.
Zakir yang bertaraf Penduduk Tetap berkata, Ramasamy memfitnahnya dalam satu lagi kenyataan disiarkan portal berita pada 1 Oktober 2017, dengan mendakwa Malaysia melindungi apa didakwanya sebagai pelarian dari India.
Beliau juga mendakwa pada 11 Ogos 2019, Ramasamy memanipulasi ucapan dibuatnya pada satu majlis anjuran Kerajaan Kelantan, yang diterbitkan portal berita pada hari sama.
Pada 20 Ogos 2019, Ramasamy sekali lagi dikatakan memfitnah Zakir dalam kenyataan mengandungi kebencian.
Saman kedua Zakir dibuat kerana mendakwa Ramasamy memfitnahnya apabila mengulas berhubung kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) yang disiarkan portal berita pada 8 November 2019. – UTUSAN










