KOTA KINABALU: Seramai 23 kakitangan Pusat Luar Universiti Malaysia Sabah (PLUMS) menjayakan program khidmat masyarakat (CSR) di Kampung Sayap, Kota Belud, baru-baru ini.
CSR tersebut membawa sumbangan bakul makanan yang diagihkan kepada 60 penerima bersasar terdiri daripada ahli keluarga orang kurang upaya (OKU), ibu tunggal dan warga emas.
Menurut Pengarah PLUMS, Dr. Lim Thien Sang, program tersebut antara lain bertujuan bagi mengenali dengan lebih dekat komuniti suku kaum Dusun Tindal yang berada di perkampungan tersebut.
Katanya melalui CSR itu juga, PLUMS dapat membantu memperkenalkan aktiviti kebudayaan yang ditonjolkan oleh suku kaum Dusun Tindal seperti menganyam gelang manik, tampi padi dan tarian tradisional yang dikenali sebagai Tarian Siri-Siri.
“Kami berbesar hati kerana kedatangan disambut mesra oleh penduduk dan mereka sudi menyantuni kami dengan berkongsi hasil bumi dan buah-buahan tempatan yang terdapat di sini.
“PLUMS berharap agar Kampung Sayap ini akan menjadi salah satu pusat pelancongan yang penting di Sabah dengan keindahan semula jadi yang dapat membantu membangunkan sosioekonomi penduduk,” katanya.
Sementara itu, Ketua Program CSR PLUMS, Wong Ken Hong berkata, penganjuran tersebut telah memupuk sikap peka dan ambil berat dalam kalangan warga PLUMS terhadap isu-isu masyarakat.
“Kami menjalankan program CSR ini serentak bersama Program Pengukuhan Kerja Berpasukan (team-building) bagi mewujudkan jalinan kerjasama secara berpasukan dan bagi meningkatkan darjah kegembiraan kakitangan.
“Selain itu, melalui penganjuran kali ini, ia dapat mengeratkan hubungan antara semua kakitangan PLUMS agar komunikasi dua hala dapat diterapkan dengan lebih berkesan,” jelasnya.-