PETALING JAYA: Proses mengambil keterangan Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr. Siti Mastura Muhammad yang didakwa mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadap Pengerusi DAP, Lim Guan Eng ditunda esok.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, Siti Mastura akan diambil keterangan pukul 11 pagi esok di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bukit Aman.
Kata beliau, sehingga pukul 10 pagi hari ini, terdapat enam laporan polis diterima di seluruh negara membabitkan kes tersebut.
“Siasatan berkenaan dilakukan mengikut seksyen kesalahan di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan, proses mengambil keterangan Siti Mastura akan dilakukan di Kepala Batas dekat sini pada pukul 5 petang ini.
Kelmarin, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd Zain memaklumkan proses rakam keterangan ke atas Siti Mastura dijadual akan diadakan pada hari ini.
Kata beliau, sebanyak empat laporan polis dibuat berhubung isu ini dan siasatan sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) JSJ Bukit Aman.
Terdahulu, Guan Eng dalam satu sidang media di Parlimen memaklumkan memberi masa dua hari kepada Siti Mastura mengemukakan bukti jika benar beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan komunis, Chin Peng.
Guan Eng berkata, kegagalan Siti Mastura berbuat demikian berisiko berdepan dengan tindakan undang-undang.
Pada masa sama, selepas tempoh 48 jam diberikan, Pengerusi DAP telah memulakan tindakan undang-undang terhadap Siti Mastura.
Sebelum ini, video berdurasi 46 minit 51 saat itu, Siti Mastura pada suatu majlis dirakam mendakwa pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang juga bapa Guan Eng, adalah sepupu kepada ketua Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
Selain itu, Siti Mastura juga dalam rakaman itu mendakwa bekas Perdana Menteri Singapura, Lee Kuan Yew adalah sepupu Kit Siang selain mengaitkan isteri Guan Eng dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok.
Malah, Siti Mastura juga mendakwa pemimpin DAP termasuk Setiausaha Agung DAP dan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke; Naib Pengerusi Kebangsaan DAP dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming; Ahli Parlimen Bruas, Ngeh Koo Ham dan Teresa mempunyai hubungan kekeluargaan. – UTUSAN