PRK Kemaman: PH komited bantu kempen calon BN - Utusan Malaysia

PRK Kemaman: PH komited bantu kempen calon BN

AZMAN Abidin (tiga, kiri) bergambar bersama Wanita UMNO Bahagian Kemaman pada Majlis Ramah Mesra Jentera PRK Parlimen Kemaman peringkat DUN Cukai di Chendor, Kemaman, malam tadi. - UTUSAN/NIK NUR IZZATUL HAZWANI NIK ADNAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Pakatan Harapan (PH) komited akan membantu kempen untuk memastikan kemenangan calon Barisan Nasional (BN) yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember depan. 

Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berkata, jentera PH akan menyumbang sepenuh tenaga bagi memastikan kerusi Parlimen Kemaman dirampas kembali daripada Perikatan Nasional (PN). 

“Kita akan menyokong 100 peratus siapa sahaja calon yang diamanahkan. Secara konsesusnya, kerusi ini paling rapat dengan Barisan Nasional (BN) dan calon BN akan ditentukan presidennya (Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi). 

“Jentera PH akan menyumbang seluruh tenaga untuk pastikan kita boleh ambil balik kerusi Parlimen Kemaman,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Ramah Mesra Jentera PRK Parlimen Kemaman peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai di Chendor di sini, malam tadi.

Azman berkata, meskipun BN gagal memenangi kerusi parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU) lalu dan Pilihan Raya Negeri (PRN), pihaknya yakin dapat merampas kembali kerusi Parlimen itu. 

“Tak mustahil (menang) walaupun kita kalah dengan majoriti yang besar. Sekarang ini telah banyak perubahan yang dah dibuat kerajaan jadi rakyat dah mula lihat kerajaan ini boleh memberikan perkhidmatan baik untuk rakyat. 

“PRK Kemaman ini juga penting untuk kita lengkapkan majoriti dua pertiga di kerusi Parlimen,” katanya. 

Menurutnya, PH dan BN akan memberi tumpuan kepada kempen menerusi media sosial bagi menarik pengundi di Parlimen itu.

“Saya melihat kekalahan kita pada Pilihan Raya Umum dan Pilihan Raya Negeri lepas adalah kerana kekalahan kepada media sosial. 

“Sekarang ini,  peperangan kempen senjatanya adalah media sosial. Kalau kita tak kuasai media sosial seperti TikTok, Facebook, susah sebab orang nak tahu apa yang kita buat melalui media sosial,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya