PRK Kemaman: Pengundi bersedia mengundi kali ketiga

PRK Kemaman: Pengundi bersedia mengundi kali ketiga

PENGUNDI Kemaman bersedia untuk mengundi pada 2 Disember depan
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEMAMAN: Penduduk di daerah ini bersedia melaksanakan tanggungjawab masing-masing dengan keluar mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman, 2 Disember ini meskipun terpaksa mengundi untuk kali ketiga dalam tempoh setahun.

Salah seorang pekerja kontrak minyak dan gas, Mohd. Azmi Ismail, 40, berkata, walaupun dia mula merasa bosan berikutan baru sahaja mengundi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) pada Ogos lalu, namun dia akan tetap menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengundi.

“Kalau ikutkan kata hati, memang tak nak pergi mengundi sebab jemu dan malas. Saya rasa bosan dengan orang-orang politik. Belum sampai setahun, tiga kali kami terpaksa mengundi. Sebelum ini, hanya sekali dalam tempoh lima tahun.

“Bagaimanapun, nak atau tak, saya terpaksa keluar mengundi juga sebab tak nak parti yang saya sokong itu kalah,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.

Warga emas dari Air Putih, Mariam Mohamad, 63, berkata, walaupun terpaksa berkerusi roda berikutan masalah kesihatan yang dialaminya, namun tidak mematahkan semangatnya untuk mengundi pada 2 Disember depan.

“Mak cik tidak ambil kisah berapa kali nak keluar mengundi sebab prosesnya hanya sehari.

“Apa yang penting, calon yang diberi tanggungjawab nanti mestilah banyak membantu rakyat dengan bawa kebaikan seperti menurunkan harga barang dan bagi peluang kerja untuk anak muda,” katanya.

Seorang pengundi muda, Awanis Aqilah Ahmad, 18, berkata, beliau teruja untuk keluar mengundi untuk kali pertama berikutan tidak berkesempatan mengundi pada Ogos lalu.

“Saya dah buat penilaian dan keputusan sendiri untuk memilih calon dan parti mana. Apa yang penting, pemimpin itu mestilah mesra dengan rakyat di sini dan sering turun padang.

“Saya tak nak pilih pemimpin yang hanya turun padang ketika berkempen sahaja dan hilang selepas memenangi pilihan raya,” katanya.

Yusof Ahmad, 60, di Kampung Batu 16, berkata, dia berharap tidak akan berlaku bencana banjir pada hari pengundian berikutan kediamannyan akan turut terjejas sekiranya banjir.

“Kalau banjir, susah sikit untuk kami keluar mengundi sebab biasanya kawasan rumah saya dinaiki air dan kami terpaksa guna bot untuk bergerak,” katanya.

PRK Parlimen Kemaman diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya Terengganu membatalkan kemenangan calon Pas, Che Alias Hamid pada 26 September lalu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN