KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan sindiket penipuan panggilan didalangi warga Jepun dengan mensasarkan rakyat negara itu dalam serbuan pada 13 November lalu.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, seramai tujuh lelaki warga Jepun berusia 23 hingga 41 tahun ditahan di sebuah kediaman di ibu negara.
Katanya, serbuan dijalankan susulan laporan daripada pihak kedutaan Jepun yang melaporkan seorang warga Jepun ditipu untuk bekerja sebagai scammer di Malaysia.
“Modus operandi sindiket dengan menyasarkan warga Jepun melalui aplikasi Skype untuk menghubungi dan menjerat mangsa.
“Sindiket menyamar sebagai pegawai bank selain memaklumkan kepada mangsa bahawa akaun bank mereka mengalami masalah.
“Untuk menyelesaikan masalah tersebut, mangsa akan diminta membuat sejumlah bayaran ke akaun bank yang diberikan oleh suspek sindiket tersebut,” katanya dalam sidang akhbar di Menara KPJ di Jalan Tun Razak di sini hari ini.
Menurut Ramli, pihaknya merampas sebanyak 11 telefon bimbit, modem, satu plastik hitam beberapa barangan elektronik yang tidak sempurna, satu batang tukul besi dan serangkai anak kunci milik suspek.
Tambah beliau, kesemua suspek kini direman sehingga hari ini dan di bawah tahanan Akta Imigresen 1959.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 120B, Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan 511 Kanun Keseksaan kerana kesalahan cuba mencuri yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda.
“Ini antara kes pertama penipuan panggilan melibatkan warga Jepun dan menunjukkan betapa sindiket ini sentiasa mempelbagaikan kaedah penipuan yang digunakan.-UTUSAN