Peruntukan kepada 4 MP: Kenapa nak prolong benda ni?

Peruntukan kepada 4 MP: Kenapa nak prolong benda ini? – Saifuddin

SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Peruntukan yang diberi kepada ahli parlimen merupakan bajet Perdana Menteri ke setiap kawasan melalui wakil rakyat yang dipilih.

Menegaskan perkara itu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, isu peruntukan kepada empat ahli parlimen yang menyokong Perdana Menteri tidak seharusnya dipertikaikan kerana ia bukan disifatkan sebagai rasuah.

“Undang-undang negara kita adalah peruntukan Perdana Menteri diagihkan ke setiap kawasan melalui ahli parlimen. Soal ini sudah banyak kali dibincangkan.

“Ini berkali-kali Tambun sebut mengenai kesediaan kerajaan buka ruang kepada perbincangan, Timbalan Perdana Menteri Putrajaya diberi mandat. Kenapa nak prolong benda ni?” soalnya ketika menjawab soalan tambahan di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Datuk Rosol Wahid (PN-Hulu Terengganu) meminta menteri menjelaskan adakah peruntukan yang diberi kepada ahli parlimen yang menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri itu dikatakan sebagai rasuah.

Jelas Saifuddin lagi, laporan kepada pihak polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh dibuat jika terdapat sebarang dakwaan mengenai perkara ini.

Jelasnya lagi, kedua-dua agensi berkenaan bersedia memberikan kerjasama untuk menjalankan siasatan berhubung laporan yang dibuat.

“Polis akan buat siasatan jika ada laporan dari individu dan kalau tidak wujud unsur-unsur habuan, sokongan, ia boleh jatuh kepada fitnah terhadap kerajaan.

“Kerana itu saya ingin ulangi, pihak agensi penguat kuasa dalam kerajaan, kita sedia untuk bertindak secara profesional menangani sebarang kemungkinan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, satu laporan polis telah dibuat oleh ARMADA tengah malam tadi, disusuli laporan kepada SPRM dalam masa terdekat.

Katanya lagi, satu sidang media juga akan dibuat mengenai perkara ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN