PETALING JAYA: Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengkritik Perdana Menteri dengan menyifatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tidak demokratik susulan isu berkenaan pengagihan peruntukan kawasan.
Muda berkata, Malaysia merupakan sebuah negara yang demokratik dan merayakan perbezaan pendapat serta ideologi politik sebagai mekanisme Semak imbang demi mencapai matlamat Pembangunan rakyat.
Menurutnya, tindakan Perdana Menteri bercanggah dengan pendirian beliau sebelum ini iaitu pada Mac lalu Anwar sendiri menyatakan komitmen untuk memberikan peruntukan yang adil dan sama rata kepada semua ahli Parlimen tanpa mengira sama ada dari kerajaan atau pembangkang.
“Ia juga bercanggah dengan manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi pilihan raya umum yang lepas. Mengapa pendirian berubah? Adakah pendirian ahli-ahli parlimen PH juga telah berubah?
“Perdana Menteri harus sambut baik perihal ini dan sama-sama menghasilkan dasar menyeluruh bagi memastikan keadilan dan amalan demokrasi dapat dijalankan dengan lancar demi kepentingan serta pembangunan rakyat yang telah memilih wakil rakyat yang mewakili mereka,” katanya di dalam satu kenyataan.
Terdahulu, media melaporkan, Perdana Menteri menegaskan bahawa peruntukan untuk pembangunan bagi negeri ditadbir pembangkang masih diteruskan walaupun tidak diberikan secara terus kepada ahli Parlimen.
Beliau berkata, peruntukan tersebut tidak sepatutnya diberikan buat pemimpin-pemimpin yang mencerca, memaki dan menuduh kerajaan dengan pelbagai dakwaan.
Muda menggesa Perdana Menteri untuk tidak menggunakan peruntukan sebagai alat untuk mendesak dan mendapatkan sokongan daripada ahli Parlimen pembangkang, sebaliknya bekerjasama demi memperkasa serta memulihkan kepercayaan rakyat terhadap institusi demokrasi negara.
“Muda mendesak Perdana Menteri untuk mengotakan janji dan tegas dengan pendirian awal beliau untuk memberikan peruntukan sama rata kepada ahli-ahli Parlimen pembangkang,” katanya. – UTUSAN