Pertanian jadi pilihan golongan muda

Pertanian jadi pilihan golongan muda

PARA pelajar yang mengikut kursus kemahiran pertanian di Institut Pertanian Titi Gantong (IPTG) dekat Parit. - UTUSAN/MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PARIT: Bidang pertanian, iaitu antara agenda yang digariskan di bawah inisiatif Perak Sejahtera 2030 semakin menjadi pilihan golongan muda yang mahu menjadikannya sebagai pekerjaan masa depan.

Untuk itu, mereka menyi­apkan diri dengan mempelajari pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) dalam bidang itu yang disediakan antaranya di Institut Pertanian Titi Gantong (IPTG) dekat sini.

IPTG ditubuhkan pada 1974 dengan keluasan lebih 60 hektar mengandungi ladang, kawasan ternakan, bilik kelas serta kemudahan lain. Ketika ini jumlah pelajarnya seramai 124 orang.

Pengarah IPTG, Nur Hafizah Sharudin berkata, IPTG menawarkan pecahan dalam dunia pertanian iaitu penanaman, penternakan, estet, landskap dan memproses makanan.

“Mengikut silibus yang ada, pelajar boleh memahami rantaian bidang pertanian bermula daripada penanaman asas sehingga kepada pengkomersialan selain didedah isu semasa dalam bidang pertanian,” ujarnya.

Katanya, penerapan teknologi era Internet kebendaan (IoT) dalam pertanian juga ditekankan seperti pengurusan perladangan dan penanaman yang boleh dilaksanakan menggunakan alat kawalan dari jauh.

Antara bentuk pertanian yang diusahakan di institusi itu adalah ternakan kambing, lembu dan ayam, buah tembikai, perladangan sawit, tanaman cili, cendawan serta landskap.

“Pelajar IPTG biasanya akan melanjutkan pelajaran ke pe­ring­kat lebih tinggi atau mendapat pekerjaan.

“Banyak syarikat memohon pelajar dari sini untuk menjalani latihan industri dan mengambil mereka bekerja,” katanya.

Beliau percaya tumpuan kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam bidang pertanian akan menggalakkan lebih ramai lagi penyertaan golongan muda.

Sementara itu, pelajar, Muhammad Afiq Hakimi, 19, berkata, dia meminati bidang pertanian dan melihat krisis makanan sebagai peluang kepadanya untuk aktif dalam industri itu.

Rakannya, Nur Izzatul Amirah, 22, pula berkata, kebergantungan Malaysia terhadap import makanan menggambarkan keperluan kepada pembangunan industri pertanian dan potensi luas bidang itu. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya