Pernah diejek band ‘second class’, busuk bertutur bahasa Jawa - Letto - Utusan Malaysia

Pernah diejek band ‘second class’, busuk bertutur bahasa Jawa – Letto

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menginjak usia dua dekad sebagai anak seni, band terkenal Indonesia, Letto, mendedahkan pernah diejek busuk kerana bertutur dalam loghat bahasa Jawa.

Band asal Jogjakarta yang dianggotai Noe, Patub, Cornel, Widi dan Dhedot itu juga dianggap sebagai pemuzik kelas kedua berbanding band yang sedia ada semasa awal pembabitannya di dalam industri muzik Indonesia.

“Kami sering mendapat banyak kata makian. Kami dari Jogjakarta yang dianggap sebagai kelas kedua waktu itu dan diejek sebagai orang kampung.

“Tapi kami enggan ambil peduli dan iyakan sahaja kata-kata hinaan itu kerana memang benar kami asal kampung dan bertutur dalam bahasa Jawa yang dianggap tidak ‘cool’. Jika mereka tidak suka dengan kami, itu masalah mereka,” kata vokalis Letto, Neo.

Letto ditemui Utusan Malaysia di majlis sidang media konsert Letto 20th Anniversary Live in Kuala Lumpur di Bukit Bintang, semalam.

Tidak terlalu mengendahkan kata-kata makian sebaliknya berusaha menampilkan karya yang malar segar, kini penyanyi Sandaran Hati itu bakal meraikan perjalanan sepanjang 20 tahun sebagai pemuzik menerusi sebuah konsert perdananya di Malaysia pada Januari tahun hadapan.

“Letto akan sedaya upaya menampilkan sebuah konsert yang tidak hanya memberi hiburan di telinga tetapi meninggalkan rasa dan makna kepada pendengar.

“Kami akan menampilkan iringan gamelan daripada 20 orang pemuzik dari kumpulan Gamelan KiaiKanjeng diterbangkan dari Indonesia.

“Selama ini, kami memang selalu bereksperimen dengan muzik tradisional dan komposisi lagu Melayu dengan sentuhan tradisional Minang,” jelasnya.

Menerusi konsert yang bakal diadakan di Zepp Kuala Lumpur pada 12 Januari 2024, Letto akan membawakan lagu-lagu hit seperti Ruang Rindu, Sebelum Cahaya, Sandaran Hati dan Permintaan Hati.

Tiket konsert sudah mula dijual dengan harga bermula RM159 di laman sesawang ticket2u.com.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN