Perlis cipta sejarah tersendiri, diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan Ke-10 - Utusan Malaysia

Perlis cipta sejarah tersendiri, diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan Ke-10

PERLIS mencipta sejarah tersendiri apabila keseluruhan negeri diiktiraf sebagai sebagai Geopark Kebangsaan Ke-10,-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Perlis mencipta sejarah tersendiri apabila keseluruhan negeri diiktiraf sebagai Geopark Kebangsaan Ke-10 menerusi sesi penilaian yang dijalankan pada September lalu.

Menerusi proses penilaian berkenaan, Perlis Geopark telah memenuhi skop untuk diperakukan sebagai Geopark Kebangsaan dengan memperolehi antara markah tertinggi.

Menteri Besar, Mohd. Shukri Ramli berkata, keputusan itu merupakan satu pencapaian menakjubkan dan kerajaan negeri akan berusaha mempertahankan penilaian semula yang akan dilaksanakan pada 2027 depan.

“Kita harap dapat menambah baik peratusan markah pada masa akan datang dan beberapa pelan akan dirancang untuk diperhalusi dengan lebih kemas,” katanya selepas Majlis Perasmian Sambutan 50 Tahun Perbadanan Kemajuan Ekonomi Perlis (PKENPs) di Hotel Brasmana di sini hari ini.

Menerusi proses penilaian sebelum ini, beberapa lokasi telah dilawati oleh panel penilai sekitar negeri ini antaranya seperti geo­park Bukit Lagi, Bukit Ayer, Gua Kelam, Bukit Jernih dan Timah Tasoh, View Point Wang Kelian, Kampung Warna-Warni Seberang Ramai dan Muzium Kota Kayang.

Hasil laporan penilaian itu juga telah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Geopark Kebangsaan sebelum memperolehi pengiktirafan berkenaan.

Dalam pada itu, Pengurus Perlis Geopark, Dr. Puteh Soraya A.Rahman berkata, penarafan berkenaan akan menjadi satu batu loncatan buat negeri ini khususnya buat industri pelancongan.

“Terima kasih dan setinggi penghargaan diucapkan buat seluruh komuniti Perlis Geopark yang bertungkus lumus merealisasikan harapan negeri ini untuk mendapat penarafan geopark kebangsaan.

“Saya juga mengucapkan terima kasih atas kepercayaan dan sokongan padu kepimpinan negeri, pengurusan tertinggi, semua jabatan, agensi, institusi pendidikan, rakan-rakan strategik Perlis Geopark, media, dan pihak geoguide,” katanya.

Tambahnya, sokongan daripada Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang turut berkenan mencemar duli berangkat semasa sesi penilaian juga amat dihargai bagi meraih penarafan tersebut.

“Semoga seluruh rakyat Perlis mendapat manfaat bagi penjenamaan Perlis Geopark ini terutamanya menjelang Tahun Melawat Perlis 2024-2025,” katanya. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya