KOTA KINABALU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menyifatkan perbuatan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) merampas ahli dan pemimpin parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sebagai tindakan tidak bermoral.
Beliau berkata, tindakan sebegitu memberi gambaran Gagasan Rakyat seolah-olah telah hilang keyakinan dalam perjuangan gabungan yang dibentuk oleh tujuh parti tempatan berkenaan.
“Kerja pemimpin GRS tiada lain kecuali merampas ahli dan pemimpin dalam kerajaan GRS sendiri. Perkara itu berlaku hampir di kesemua 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sabah.
“Pada saya ini adalah perbuatan yang tidak betul, tidak bermoral, tidak berintegriti dan hilang keyakinan dalam perjuangan,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasminya, hari ini.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata demikian semasa mengulas kenyataan Naib Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Ruslan Muaharam yang mendedahkan perbuatan beberapa parti dalam GRS yang merampas ahli parti komponen dan mahu ia dihentikan kerana tidak menghormati semangat setiakawan.
Ruslan berkata, tindakan sedemikian telah berlaku dan boleh menyebabkan perpecahan dalam gabungan tersebut.
Bung Moktar bersetuju dengan saranan Ruslan agar perbuatan merasuah ahli dan pemimpin parti lain agar menyertai Gagasan Rakyat harus dihentikan kerana perjuangan seperti itu tidak memberi jaminan yang Gagasan Rakyat boleh memenangi pilihan raya negeri (PRN) akan datang.
Jelas beliau, Gagasan Rakyat perlu ingat bahawa parti yang ditubuhkan atas dasar paksaan dan pembelian melibatkan kewangan dan tawaran jawatan itu tidak akan mampu bertahan lama.
“Dulu perkara sebegini pernah berlaku semasa Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) memerintah, parti itu telah berjaya membeli dan merasuah hampir semua ahli dan pemimpin parti lain tetapi akhirnya kerajaan Berjaya tumbang juga,” katanya.-UTUSAN










