KAMPAR: Kerajaan negeri akan bekerjasama dengan beberapa syarikat telekomunikasi dalam menambah baik perkhidmatan jalur lebar di kawasan hutan lipur yang menjadi antara produk pelancongan sempena Tahun Melawat Perak (TMP) 2024.
Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi berkata, buat masa ini pihaknya telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedua Malaysia (SKMM) untuk meneliti serta mengenalpasti peranti yang bersesuaian diletakkan dilokasi tersebut.
“Perbincangan masih diteruskan dan penawaran perkhidmatan jalur lebar yang bakal ditawarkan syarikat-syarikat ini lebih kepada projek tanggungjawab sosial korporat (CSR).
“Daripada sudut penyediaan kemudahan, kita sedia maklum bahawa kawasan hutan lipur tidak dibenarkan dijalankan pembangunan melibatkan menara (telekomunikasi).
“Jadi, perlu ada mekanisme lain yang bersesuaian untuk menaiktaraf perkhidmatan jalur lebar di kawasan itu,” katanya selepas merasmikan Karnival Digital Perak 2023 di Terminal Putra Sentral Kampar di sini hari ini.
Mohd Azlan berkata, proses penambahbaikan perkhidmatan jalur lebar yang dijalankan di kawasan hutan lipur berkenaan juga merupakan satu projek rintis dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Disember tahun ini.
“Sekiranya berjaya, kita akan memperluaskan mekanisme yang digunapakai di kawasan lain bergantung kepada tahap kesesuaiannya,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif dilaksanakan ini juga bersifat serampang dua mata kerana manfaat daripada penambahbaikan capaian jalur lebar tersebut bukan hanya dirasai oleh pelancong malah masyarakat Orang Asli yang kebanyakannya mendiami kawasan hutan lipur.
Selain itu, katanya pihaknya bersama pejabat exco pelancongan juga dalam proses mengumpul dapatan atau data terkini berkaitan lokasi pelancongan lain di Perak yang berdepan masalah capaian jalur lebar.
“Data terkini berkenaan kawasan yang bermasalah ini sedang kita kumpulkan dan ia akan diuar-uarkan dalam masa terdekat tentang sasaran (penyelesaian) untuk fasa pertama,” katanya. – UTUSAN