PETALING JAYA: Misteri kehilangan Muhd Danial Hakim Mohd. Saiful, 24, sejak Rabu lalu yang gagal dikesan selepas pulang bekerja di daerah ini, terungkai selepas penyunting video itu pulang dalam keadaan selamat, semalam.
Abang kepada Muhd Danial, Muhammad Luqmanul Hakim Mohd Saiful berkata, adiknya mendakwa dia hanya hanya berada di dalam kereta di lokasi kenderaan diletakkan di Sungai Buloh di sini dan tidak jumpa jalan pulang ke rumah sejak dua hari lalu.
Katanya, malah Muhd Danial memberitahu dia tidak dapat membuka pintu selain keadaan sekeliling dilihat gelap.
“Pada hari kejadian sebaik sahaja turun dari MRT Sungai Buloh, dia berasa agak pening dan memandu kereta sebelum dia parkir sekejap di kawasan berhampiran untuk berehat.
“Namun selepas itu dia bergerak untuk pulang ke rumah namun gagal menemukan laluan ke rumahnya dan beberapa kali melalui kawasan sama.
“Selepas itu, dia meletakkan kereta di kawasan terbabit dan cuba menghubungi isterinya namun gagal malah dia juga tidak dapat membuka pintu kereta selain enjin gagal dihidupkan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tambah Muhammad Luqman, Muhd Danial memberitahu dia juga melihat di luar kereta keadaan hitam dan tidak dapat berbuat apa-apa.
Bagaimanapun, jelasnya, Muhd Danial menemukan jalan pulang selepas terdengar azan, semalam sebelum enjin kereta dihidupkan semula dan berjaya pulang ke rumah dalam keadaan selamat namun trauma dan lemah.
“Sebaik sahaja tiba di parkir rumah flatnya dia terus menghubungi isterinya memaklumkan dia berada di bawah dan tidak larat hendak naik ke atas,” katanya.
Media semalam melaporkan seorang wanita sedih dan buntu memikirkan nasib suami yang dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah di Bukit Rahman Putra, di sini, sejak Rabu lalum
Muhd Danial Hakim gagal dikesan selepas pulang bekerja di Petaling Jaya, kira-kira 6.30 petang.
Isteri mangsa dikenali sebagai Puteri dilaporkan berkata, berdasarkan rekod transaksi kad Touch ‘n Go (TnG) mendapati kereta Kia Forte milik suami keluar dari Stesen MRT Sungai Buloh pada 8 malam hari sama.- UTUSAN