SEREMBAN: Walaupun berlaku peningkatan harga bahan mentah seperti tepung beras, seorang peniaga kuih dan biskut sempena perayaan Deepavali tetap mengekalkan harga jualannya seperti tahun sebelumi ini.
N. Gopinathan, 40, dari Rasah di sini berkata, dia tetap menjual kuih-kuih tradisional masyarakat India, biskut dan muruku pada harga di antara RM20 hingga RM25 sebekas.
“Memang kos untuk tahun ini naik, harga beras naik, kami juga banyak guna tepung beras, iaitu hampir satu tan. Bagaimanapun kami cuba kekalkan harga kerana kami juga tak mahu orang ramai tidak dapat beli kerana harga mahal.
“Kami jual pada harga yang sama seperti sebelum ini iaitu di antara RM20 hingga RM25, tidak mengapa, kami boleh berikan diskaun dan boleh kurangkan sedikit kuantiti asalkan orang ramai dapat beli dan nikmati kuih-muih ini, lagipun kami ramai pelanggan tetap, mereka juga yang banyak beri sokongan sebelum ini,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui Utusan Malaysia di Karnival Deepavali Negeri Sembilan 2023 di Taman AST di sini, semalam.
Gopinathan dalam pada itu berkata, dia sudah menyertai jualan di karnival berkenaan selama 13 tahun dan kuih-muih tradisional masyarakat India sentiasa menjadi pilihan pelanggannya untuk Deepavali.
“Kuih ketti urundai ataupun kuih batu, kuih nei urundai atau bebola minyak sapi, dan kuih chittu urundai (manisan bebola kecil) paling laku dan mendapat sambutan, semuanya kami buat sendiri.
‘Setiap tahun kami boleh menjual sekitar 4,000 bekas dalam tempoh 10 hari karnival, kebiasaannya semakin hampir untuk hari perayaan Deepavali, permintaan juga meningkat,” katanya yang memberitahu menjual kira-kira 23 jenis kuih-muih, biskut dan manisan dengan 11 daripadanya merupakan kuih tradisional masyarakat India.
Dia memberitahu, penganjuran karnival sempena Deepavali yang dianjurkan oleh kerajaan Negeri Sembilan banyak membantu peniaga sepertinya untuk mencari pendapatan tambahan.-UTUSAN










