Penduduk Kampung Tambatuon guna beras tanam sendir

Penduduk Kampung Tambatuon guna beras tanam sendiri

KAWASAN tanaman padi sawah di Kampung Tambatuon, Kota Belud.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BELUD: Sekiranya setiap isi rumah mengusahakan tanaman padi sawah sendiri maka, tiada isu kekurangan beras putih tempatan dihadapi oleh kira-kira 1,000 penduduk di Kampung Tambatuon.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Kampung Tambatuon, Kosimin Sulidan berkata, biarpun tanaman padi bukan aktiviti pertanian utama penduduk di sini namun, ia cukup untuk menampung keperluan beras mereka.

Beliau berkata, mereka tidak menyangka tanaman padi untuk sara diri yang diusahakan sejak bertahun-tahun lamanya itu memberi manfaat kepada mereka semasa berlaku isu kekurangan beras putih tempatan.

“Boleh dikatakan setiap isi rumah di sini mempunyai sawah padi sendiri dan ia cukup untuk menampung keperluan beras kami sendiri.

Beras yang ditanam berlainan jenis iaitu beras putih, beras perang dan juga beras hitam.

“Beras yang dihasilkan di sini kebanyakannya beras wangi keladi atau pandan yang berharga antara RM15 hingga RM16 sekilogram. Oleh itu ia tidak dikomersialkan secara besar-besaran ke­rana harganya yang agak mahal,” katanya.

Seorang penduduk, Jahim Singkui,57, berkata, secara keseluruhan, kawasan tanaman padi yang berdaftar dengan Jabatan Pertanian adalah seluas 160 ekar.

Katanya, cabaran bagi menghasilkan beras wangi keladi atau pandan, ia mengambil masa selama enam bulan untuk dituai. Itu menyebabkan mereka hanya menanam sekali dalam tempoh setahun.

“Kami ada cuba untuk menanam dalam tiga bulan sekali namun, ketiadaan sistem pengairan menyukarkan kami untuk membuat penanaman dalam tempoh yang singkat.

“Itu sebabnya kami menanam sekali setahun, lagipun beras wangi mengambil masa enam bulan untuk matang. Jadi, kami akan mula menanam padi pada bulan April atau Mei dan tuai hasil pada hujung November atau awal Disember,” katanya.

Pada masa ini, beras wangi yang dikeluarkan dijual kepada kenalan terdekat dan juga individu perseorangan yang telah menjadi pelanggan tetap mereka.

Malah katanya, penduduk di situ juga ada berbincang dengan pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS) bagi menjalankan kajian kajian agar proses tuaian beras wangi ini boleh dipercepatkan kepada tiga bulan.

Walau bagaimanapun, belum ada perbincangan secara rasmi mengenai usaha berkenaan.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN