KEMAMAN: Lebih 200 penduduk di sekitar Kampung Padang Lalang, Felda Neram 1, dekat sini, dibelenggu kebimbangan selepas kawanan gajah menceroboh kawasan kampung mereka dan memusnahkan tanaman, semalam.
Tinjauan di kawasan kampung itu mendapati, banyak tanaman penduduk dimusnahkan dan beberapa pagar belakang rumah rosak dirempuh gajah.
Seorang pemilik kedai mencuci kereta, Amran Ghazali, 53, berkata, dia dan isterinya, Lisa Radiani Abdullah, 47, terdengar bunyi bising berhampiran kedai yang terletak bersebelahan rumahnya kira-kira pukul 12.30 tengah malam.
“Saya keluar dari rumah membawa lampu suluh dan terkejut mendapati seekor gajah sedang memakan umbut kelapa sawit di tepi kedai,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Amran berkata, keesokan harinya, dia melihat beberapa batang pokok pisang dan kelapa sawit serta beberapa alat termasuk penyidai kain di kedainya dalam keadaan bersepah.
Seorang lagi penduduk, Fatimah Mamat, 70, berkata, dia terjaga dari tidur kira-kira pukul 2.30 pagi selepas terdengar bunyi bising di belakang rumahnya.
“Saya tak pernah dengar bunyi bising begitu, tak berani nak buka tingkap sebab rasa sangat takut.
“Saya ingatkan beruang yang berada belakang rumah, namun fikir, beruang tak boleh masuk ke kawasan rumah sebab pagar belakang rumah baru siap dibaiki dua hari lepas,” katanya.
Fatimah berkata, dia mengetahui kawasan rumahnya diceroboh gajah selepas suaminya, Mohamad Ali, 77, memeriksa belakang rumah kira-kira pukul 8 pagi semalam.
“Sebahagian pagar rumah runtuh ditolak gajah dan beberapa tanaman iaitu lebih lima batang pokok kelapa serta pisang dimakan gajah.
“Keadaan ini membuatkan kami ketakutan sebab sepanjang lebih 40 tahun tinggal di sini, ini kali pertama gajah menghampiri kawasan rumah kami dan penduduk lain,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu, Loo Kean Seong berkata, pihaknya melakukan pemantauan dan kawalan di kawasan tersebut dari semasa ke semasa. – UTUSAN










