Pemerkasaan mahasiswa: Retorik atau realiti?

Pemerkasaan mahasiswa: Retorik atau realiti?

AGENDA pemerkasaan mahasiswa terus menjadi perbincangan dalam kepemimpinan pelajar universiti terutama tentang hala tuju dan mekanisme pelaksanaannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DATO’ SERI Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengetengahkan bahawa Pemerkasaan Mahasiswa merupakan antara ‘Sasaran Impak Utama’ daripada cadangan penambahbaikan sektor pendidikan tinggi negara melalui ucapan beliau pada majlis penutupan Hari Terbuka Pendidikan Tinggi Negara.

Naratif Pemerkasaan Mahasiswa ini dilihat selari dengan halatuju baharu KPT, dan sejajar dengan naratif ‘perubahan’ yang dibawa oleh kepimpinan pelajar.

Namun, masih banyak juga persoalan yang dilemparkan khususnya oleh kepimpinan pelajar. Antaranya, Pemerkasaan Mahasiswa yang macam mana yang hendak dibawa? Adakah agenda ini selari dengan perubahan yang diinginkan kepimpinan pelajar? Bagaimana hendak dipastikan agenda pemerkasaan ini dapat dilaksanakan di peringkat Institusi Pendidikan Tinggi?

Perlukah untuk dipinda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 dalam pelaksanaan ini?

Sebelum membicarakan berkenaan pengisian atau perubahan yang hendak dibawa dalam pemerkasaan mahasiswa, bagus juga kalau kita dapat memahami dahulu sejarah perjuangan ‘politik kampus’ atau ‘student power’ yang sering dilaungkan oleh kepimpinan pelajar.

Merasai pengalaman belajar di universiti awam (UA), berada dalam kepimpinan pelajar dan seterusnya terlibat sebagai warga pentabiran di kolej kediaman dan Pusat Hal Ehwal Pelajar dan Alumni (HEPA) di UA, saya sempat melihat perubahan ‘suara mahasiswa’ yang berbeza dan berubah mengikut cabaran, halangan dan dasar kerajaan. Sekumpulan kepimpinan pelajar pada waktu tersebut melaungkan naratif ‘kebebasan berpolitik’ yang diikat oleh AUKU.

Menariknya, Mohamed Khaled yang memimpin KPT pada waktu tersebut, memahami hasrat kepimpinan pelajar dan telah membuat pindaan AUKU pada tahun 2012 atas semangat demokrasi progresif.

Pindaan ini membenarkan mahasiswa terlibat dalam apa juga persatuan, badan atau kumpulan termasuk parti politik ketika di luar kampus. Sejajar dengan perubahan masa, kebebasan berpolitik di dalam kampus pula kemudiannya dibenarkan membabitkan Pindaan pemansuhan Seksyen 15(2)(c) AUKU. Turut dibuat pindaan terhadap Seksyen 47(2)(C) Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 [Akta 555] dan Seksyen 10 (2)(C) Akta Institusi-Institusi Pelajaran (Tatatertib) 1976 [Akta 174] yang terpakai kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM), Politeknik, Kolej Komuniti dan Institut Perguruan.

MOHAMED KHALED NORDIN

Melompat terus ke tahun 2022, kepimpinan KPT kini sekali lagi diletakkan di bawah kepimpinan Mohamed Khaled. Pada peringkat awal kepimpinan beliau, KPT melalui Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) seringkali mengadakan libat urus dengan semua pemegang taruh khususnya kepimpinan pelajar.

Pelbagai input perbincangan seperti penyelesaian terhadap isu kesukaran mendapatkan kelulusan untuk mengadakan aktiviti, sekatan atau ketiadaan atau ketidakcukupan kewangan untuk menjalankan aktiviti, sekatan berpolitik atau ketidakbebasan kepimpinan pelajar oleh AUKU sehingga terdapat juga segelintir yang mahukan AUKU ditiadakan.

Kesemua input ini pastinya dianalisis dengan sedalamnya di mana sebahagian isu yang dibawa perlukan kepada tindakan dan penyelarasan dan sebahagiannya pula memerlukan penerangan untuk penjelasan yang betul.

Bertitik tolak daripada ini, perancangan dan tindakan dalam bentuk naratif ‘Pemerkasaan Mahasiswa’ kini diolah dan dibawa dalam konsep yang lebih menyeluruh. Bukan sekadar meminda AUKU tetapi turut melihat kepada pelaksanaan, penyeragaman dan perubahan dasar di Institusi Pendidikan Tinggi (IPT). Intipati pemerkasaan mahasiswa ini telah diumumkan oleh Menteri Pendidikan Tinggi dalam Perutusan Tahun Baharu 2023.

Sekretariat HEPA UA semesti ditugaskan untuk memastikan agenda pemerkasaan mahasiswa ini dapat dilaksanakan. Perubahan yang hendak dibawa kali ini adalah menyeluruh yang merangkumi beberapa fasa tindakan.

Gerak kerja awal (fasa 1) untuk pemerkasaan mahasiswa telah pun digerakkan. Fasa 1 ini merangkumi 4 tiang perubahan utama melibatkan autonomi pengurusan aktiviti pelajar, autonomi pengurusan kewangan pelajar, panduan pelajar berpolitik di dalam dan luar kampus serta pengurusan pemilihan

Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UA dilaksanakan sepenuhnya oleh pelajar Campus Election Committee (CEC). Mengambil Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sebagai contoh, Kesatuan Mahasiswa UKM (KMUKM) mempunyai kebebasan pengurusan program dan aktiviti sepenuhnya (dengan mematuhi peraturan universiti) serta menyelaraskan kewangan aktiviti pelajar sepenuhnya berjumlah lebih RM1 juta bagi setiap sesi pengajian.

Kebebasan berprogram dan pengurusan autonomi kewangan dengan jumlah yang besar ini mungkin menjadi suatu yang hanya diidamkan oleh pengurusan kepimpinan pelajar yang terdahulu. Panduan pelajar berpolitik dirangka untuk memberikan lebih kefahaman dengan pelajar tidak lagi perlu mempunyai kerisauan dengan kebebasan berpolitik yang telah diberikan di dalam dan di luar kampus. Dalam menyuburkan lagi konsep demokrasi di UA, proses pemilihan MPP kini diruskan sendiri oleh kepimpinan pelajar.

Bermula dengan beberapa universiti yang mula melaksanakan perkara ini pada awal tahun 2023, kini kesemua UA telah memastikan keempat-empat agenda pemerkasaan mahasiswa ini dilaksanakan bagi fasa yang pertama. KPT semestinya akan memastikan proses ‘menghakupayakan’ mahasiswa ini dapat dilaksanakan segera. Sedikit persepsi atau salah faham yang mungkin dulu kedengaran berkenaan pelajar disekat dalam konteks penganjuran program/aktiviti atau sekatan kewangan, atau ditekan untuk tidak boleh terlibat dalam politik, atau ketidakadilan dalam pemilihan MPP kini dapat dipastikan dibuang jauh-jauh.

Pelajar diberikan autonomi dan kebebasan untuk berkarya, mengasah idea serta kreativiti dan menyuburkan demokrasi seterusnya menyumbang kepada pembinaan karektor pelajar yang holistik yang diperlukan oleh masyarakat, industri dan negara.

Universiti melalui Pusat HEPA semestinya menjadi mentee kepada kepimpinan pelajar dalam membantu, membimbing, memudah cara dan menyokong pelajar bagi memahami pelbagai proses dan tata kelola berkait seperti tatacara kewangan dan sentiasa berintegriti dengan berpegang kepada adab dan adat dalam memacu agenda pemerkasaan mahasiswa ini.

Semestinya KPT dan HEPA IPT tidak berhenti di situ sahaja. Libat urus bersama kepimpinan pelajar juga badan bukan kerajaan (NGO) kepimpinan pelajar secara berterusan, fasa seterusnya perlu untuk melihat pula ruang lain penambahbaikan dalam pemerkasaan mahasiswa.

Melalui kepimpinan Mohamed Khaled, KPT sentiasa terbuka dan mendengar hasrat kepimpinan mahasiswa yang berkehendakkan menguruskan kewangan sendiri untuk sumber kewangan luar. KPT sedang meneliti pindaan dua peruntukan Seksyen 15 (A) dan 48(11) di bawah AUKU 1971 berkaitan kutipan dana kewangan dan urusan kewangan dana (luar).

Tambahan lagi, dalam konteks keusahawanan pelajar, KPT juga melalui UA akan merangka dasar baharu yang difokuskan bagi ‘menghakupayakan’ mahasiswa untuk mengurus ruang dan entiti perniagaan serta pengurusan ‘Koperasi siswa’ dengan pemantauan dan bimbingan pusat keusahawanan universiti. Ruang untuk pemerkasaan dalam menguruskan ruangan, fasiliti, bangunan kesatuan dan kemudahan juga turut dilihat dan dikaji untuk sekali lagi memberi lebih autonomi terhadap pengurusan kesatuan pelajar.

Sinergi KPT melalui BHEP bersama kepimpinan pelajar dilihat berada dalam landasan yang betul. Kini kepimpinan pelajar bukan lagi sebagai ‘suara luar’ tetapi diangkat untuk bersama-sama dalam merangka perbincangan dan pelaksanaan.

Keterbukaan KPT dan kerajaan adalah suatu yang positif. Saya pasti akan ada lebih banyak pengumuman baharu oleh pihak KPT nanti berkenaan ‘pemerkasaan mahasiswa’ dan saya mengharapkan kepimpinan mahasiswa, Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) serta NGO kepimpinan untuk terus mengadakan perbincangan dan perundingan secara matang dan terus mengangkat ruang ‘menghakupayakan’ mahasiswa mengikut acuan bangsa dan negara kita sendiri.

Sekali lagi, pemakluman oleh Mohamed Khaled yang meletakkan Pemerkasaan Mahasiswa antara ‘Sasaran Impak Utama’ bagi cadangan penambahbaikan sektor pendidikan tinggi negara adalah langkah yang tepat. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya