Pemandu teksi Changlun terpaksa ikat perut

Pemandu teksi Changlun terpaksa ikat perut

PEMANDU teksi di Stesen Bas dan Teksi Changlun sabar menanti pelanggan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUBANG PASU: Pemandu teksi di Changlun dekat sini merayu agar pihak berkaitan memberi perhatian kepada aktiviti kereta sapu yang berleluasa sekitar daerah ini sehingga menjejaskan pendapatan mereka.

Mereka mendakwa terdapat ratusan kereta sapu yang sering berlegar-legar ‘mencuri’ penumpang mereka di kawasan tersebut termasuk di Stesen Bas dan Teksi Changlun dekat sini.

Mohd. Noor Majid, 66, memberitahu, kegiatan kereta sapu tersebut aktif sejak tahun lepas namun tiada tindakan penguatkuasaan daripada agensi berkaitan.

“Dahulu penumpang kami banyak dalam kalangan pelajar universiti berdekatan namun sekarang kereta sapu ini sudah mengambil mereka. Kami hilang hampir 90 peratus pelanggan kerana ulat-ulat ini.

“Dahulu pemandu e-hailing, sekarang kereta sapu ini pula. Susah untuk kami cari makan kalau keadaan ini berterusan,” katanya ketika ditemui di Stesen Bas dan Teksi Changlun dekat sini hari ini.

Rakannya, Ismail Abdul, 66, berkata, adalah dalam kalangan mereka terpaksa membuat kerja tambahan seperti mengambil upah potong rumput atau menoreh getah demi kelangsungan hidup.

“Sekarang nak dapat RM50 pun susah satu hari. Hari ini saya cuma dapat satu trip sahaja sebanyak RM25. Sakit kami macam ini kerana terpaksa ikat perut.

“Sudah lama tak makan kedai kerana nak jimat. Selalunya, kami berkongsi beli bahan masak sendiri di sini, goreng ikan temenung dan sayur sikit makan ramai-ramai. Itu saja yang kami mampu,” keluhnya.

Menurut Setiausaha Persatuan Pemandu Kereta Sewa Luar Bandar Bukit Kayu Hitam, Mohd. Nazril Ibrahim, 50, pemandu teksi kini berada dalam keadaan tertekan kerana pelbagai masalah berbangkit namun terpaksa meneruskan kerja itu demi menyara keluarga masing-masing.

“Kebanyakan pemandu teksi dan kereta sewa ini sudah berusia sukar bagi mereka untuk beralih kepada sistem e-hailing yang memerlukan pelbagai syarat termasuk kenderaan yang bersesuaian.

“Kami dahulu mempunyai 120 ahli tetapi kini hanya tinggal 60 pemandu sahaja. Itu pun semakin nak pupus. Persatuan di tempat lain seperti Jitra, Kodiang, Pokok Sena dan Guar Chempedak sudah bungkus kerana masalah seperti ini. Kita sangat berharap pihak berkaitan cakna dengan masalah kami,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya