SEREMBAN: Semua tempat penginapan pekerja asing yang dibuka di kawasan perumahan di dalam kawasan Majlis Bandaraya Seremban (MBS) diberi tempoh hingga hujung tahun depan untuk berpindah ke kawasan komersial.
Datuk Bandar MBS, Datuk Masri Razali berkata, arahan itu dikeluarkan oleh kerajaan negeri berikutan banyak aduan di terima daripada penduduk berkaitan kacau ganggu yang dilakukan oleh pekerja asing.
Katanya, kerajaan menggalakkan tempat tinggal pekerja asing yang dikenali sebagai Penginapan Pekerja Jangka Pendek (TLQ) didirikan di kawasan komersial seperti rumah kedai.
“Namun, dalam jangka panjang pihak yang menggunakan khidmat pekerja asing perlu beralih kepada Asrama Pekerja Berpusat (CLQ) yang mempunyai kemudahan lengkap untuk pekerja asing.
“Sehingga kini, MBS telah menerima beberapa permohonan untuk mendirikan CLQ tetapi belum menjadi kenyataan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Menurutnya, pihak yang berminat boleh datang ke MBS untuk mendapatkan nasihat dan panduan untuk mendirikan CLQ di bandar raya ini.
Tambahnya, peralihan kepada CLQ penting memandangkan pasaran antarabangsa bagi sektor perniagaan dan industri mula mensyaratkan pekerja asing yang digajikan di negara ini perlu dilindungi oleh tempat tinggal yang lebih wajar.
“Negara asing mungkin enggan membeli barangan yang dihasilkan di sini jika pekerja asing yang digajikan tinggal di tempat yang sesak dan tiada kemudahan sepatutnya,” ujarnya.-UTUSAN










