PETALING JAYA: Pas dilihat masih mempunyai kelebihan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kemaman walaupun bakal berdepan bekas Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Tan Sri Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, calon Barisan Nasional (BN).
Felo Kanan Majlis Profesor Negara (MPN), Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, tidak boleh dinafikan Kemaman merupakan kubu kuat Pas dan ia boleh dilihat pada jumlah majoriti undi semasa Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Katanya, PRK Kemaman bukan perlawanan antara calon tetapi antara dua parti dan jelas sokongan pengundi di kawasan tersebut lebih cenderung menyokong Pas.
“Terengganu rata-ratanya ditakluki Perikatan Nasional (PN) atau khususnya Pas, jadi untuk BN menumbangkan calon Pas bukanlah sesuatu perkara mudah.
“Lebih-lebih lagi semasa PRU15 jumlah majoriti undi diraih PN sangat besar sehingga menyebabkan jurang luas antara calon Pas dengan calon-calon lain. Dalam waktu yang singkat ini saya rasa susah untuk BN merampas kerusi Parlimen itu,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.
Pada PRU15, calon Pas, Che Alias Hamid menewaskan bekas Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said selepas meraih majoriti sebanyak 27,179 undi.
Namun Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Che Alias selepas pihak pempetisyen berjaya membuktikan wujudnya unsur rasuah ketika kempen PRU15.
Sehubungan itu Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Kemaman pada 2 Disember ini.
Jeniri berkata, Raja Mohamed Affandi dilihat mampu merapatkan jumlah majoriti undi dan bukannya berjaya menang di PRK Kemaman.
“Untuk menang, ia seperti mendaki gunung yang curam.
“Tidak ada isu besar yang memungkinkan rakyat mengalih sokongan daripada Pas ke BN, jadi walaupun betapa popularnya calon ia tidak menjamin apa-apa sebab ini soal sokongan kepada parti,” katanya.
Sementara itu penganalisis politik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Dr. Salawati Mat Basir berpendapat, naratif yang dimainkan sewaktu kempen akan menjadi pengukur pihak mana memenangi PRK.
“Rakyat sekarang ini terutama di Kemaman, kita tidak boleh ramal siapakah calon yang akan mereka undi. Sekarang ini kita berada dalam situasi ketidaktentuan, di mana bercampur baur dengan pelbagai isu.
“Sewaktu kempen nanti baru kita dapat lihat iaitu siapa yang pandai bawa hala tuju, bukan sekadar retorik atau perkara-perkara biasa. Jika dapat bawa naratif baharu kemungkinan besar calon itu akan menang,” katanya. – UTUSAN