Pas belum muktamad calon, tunggu 16 November

Pas belum muktamad calon, tunggu 16 November

AHMAD SAMSURI MOKHTAR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MARANG: Pas belum membuat keputusan muktamad berhubung calon yang akan bertanding mewakili parti itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman, 2 Disember ini.

Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini, pucuk kepemimpinan Pas belum memutuskan calon yang akan menggalas tanggungjawab tersebut.

“Kita belum muktamad lagi (mengenai calon Pas). Tunggu malam 16 Novemberlah, insya-Allah akan diumumkan nanti.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Kita juga belum buat keputusan lagi (calon yang dipilih) dan masih dalam pertimbangan. Tengoklah dalam masa sehari dua lagi,” katanya selepas menyampaikan Watikah Pelantikan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Penggal 1 Tahun 2023/2024 Dewan Undangan Negeri (DUN) Ru Rendang di Dewan Majlis Daerah Marang, di sini, semalam.

Ditanya mengenai latar belakang calon yang akan dipertaruhkan Pas untuk mengekalkan kemenangan di Parlimen Kemaman itu, Ahmad Samsuri berkata, ia hanya didedahkan pada malam pengumuman nanti.

Malah, beliau masih berteka-teki mengenai desas-desus yang semakin hangat diperkatakan ketika ini kononnya beliau turut tersenarai sebagai calon Pas di PRK Parlimen Kemaman.

“Calon anak tempatan ke, wallahu a’lam. Saya tak boleh sebut. Samalah di (PRK) Parlimen Kuala Terengganu dulu pun nama saya diuar-uarkan tapi tak dapat saya jadi calon. Tengoklah sehari dua lagi, sabar menunggu,” katanya.

CHE ALIAS ABD. HAMID

Sementara itu, kebanyakan penyokong Pas di Parlimen Kemaman mengharapkan penyandang kerusi tersebut, Che Alias Abd. Hamid kekal bertanding pada PRK berkenaan.

Mereka menaruh keyakinan Che Alias mampu memikul tanggungjawab sebagai Ahli Parlimen Kemaman dengan baik sekiranya sekiranya berjaya mempertahan kerusi tersebut.

Seorang peniaga, Abu Bakar Hassan, 37, berkata, Che Alias telah terbukti disenangi dan mudah didekati masyarakat tanpa mengira fahaman politik sejak dipilih sebagai Ahli Parlimen pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

Menurutnya, kemenangan Che Hamid dengan majoriti 27,179 pada PRK15 pula membukti sokongan pengundi terhadap Yang Dipertua Pas Kawasan Kemaman itu cukup membanggakan.

“Saya rasa pimpinan Pas wajar mengekalkan Che Alias sebagai calon Pas pada PRK Kemaman nanti berdasarkan prestasi yang ditunjukkan sebelum ini,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang penyokong Pas, Abdul Rahman Abdullah, 42, pula berkata, Pas wajar mengekalkan Che Alias sebagai calon seperti keputusan yang diambil dalam PRK Kuala Terengganu sebelum ini dengan mengekalkan penyandang, Datuk Ahmad Amzad Hashim sebagai calon.

“Saya amat berharap Che Alias dikekalkan sebagai calon seperti dalam PRK Kuala Terengganu sebelum ini,” ujarnya.

Badriah Osman, 32, berkata, dia mendapati sejak memenangi PRU14, Che Alias tidak mempunyai masalah sepanjang perkhidmatannya sebagai Ahli Parlimen Kemaman.

Malah, menurutnya, Che Alias mampu memenangi dengan majoriti lebih besar sekiranya kekal sebagai calon dalam PRK itu.

“Bagaimanapun, kami sebagai penyokong Pas tetap akur dan menyokong sesiapa sahaja calon yang dipilih pimpinan parti,” katanya.

Sementara itu, Che Alias sebelum ini dilaporkan berkata, beliau akur dengan keputusan pimpinan parti sama ada akan kekal bertanding atau menampilkan calon baharu.

Sebelum ini beberapa nama disebut-sebut sebagai calon Pas yang akan bertanding dalam PRK itu antaranya, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dan Ahmad Samsuri. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN